Skip to main content

Rencana

Ingat lemah sangat pasukan benua Oceania?

26616malaysiafiji47836d083d81604aa734ff0000212b38.jpg

Penulis berasa gembira kerana diberi peluang membuat liputan berita perlawanan persahabatan terakhir Jelajah Oceania antara pasukan negara dan Fiji pada 26 Jun lepas.

Sebelum tiba di sini, penulis tahu negara-negara yang diuji oleh skuad kendalian oleh anak buah Datuk Ong Kim Swee semuanya ranking lebih rendah berbanding pasukan negara.

Namun, itu tidak boleh dijadikan panduan terhadap prestasi sebenar mereka kerana negara-negara benua Oceania ini sebenarnya agak terasing dari dunia luar kerana faktor geografi mereka yang agak jauh kerana terletak di Lautan Pasifik.

Situasi itu menyebabkan mereka sukar mendapatkan perlawanan persahabatan antarabangsa kecuali beraksi sesama sendiri selain kehadiran New Zealand yang boleh menjadi `benchmark' sejauh mana kualiti yang mereka ada untuk bersaing dengan negara dari benua berlainan.

Mungkin ramai tidak tahu Papua New Guinea(PNG) yang berada di ranking 193 dunia kembali beraksi di pentas antarabangsa sejak 2012 selepas dari 2007 hingga 2011, mereka tidak bermain sebarang perlawanan persahabatan atau ambil bahagian mana-mana kejohanan.

Itu jadi punca mengapa mereka berada di ranking seperti mana sekarang tetapi selepas melantik bekas pemain antarabangsa dan ketua jurulatih Denmark Bawah 21 tahun , Flemming Seritslev, tahun lalu, transformasi bola sepak PNG berkembang pesat.

Difahamkan, PNG sudah punyai seramai 69,000 pemain yang beraksi secara aktif pada masa sekarang di kejohanan tempatan negara itu dan tidak hairanlah mereka boleh muncul naib juara Piala OFC, selain Piala Dunia Wanita Bawah 20 tahun bakal dianjurkan di sana pada November ini.

Manakala New Caledonia yang hanya punyai kira-kira 280,000 sahaja penduduk sebenarnya masih punyai pertalian yang cukup kuat dengan Perancis.

Sebahagian pemainnya pernah timba pengalaman di Ligue 1 dan Ligue 2, jadi secara tidak langsung meningkatkan lagi mutu bola sepak negara mereka dan jangan lupa, di sini lah juga asal salah seorang bintang Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998, Christian Karembeu.

Di Fiji, negara yang penulis membuat liputan, juga sedang berkembang maju dan ramai pemain mereka sedang mengetuk pintu beraksi di Liga Australia, mengikuti jejak langkah Roy Krishna yang kini di Wellington Phoenix, antaranya Nickel Chand.

Bukan mahu mencipta alasan atas kegagalan menang dalam semua perlawanan tetapi keputusan skuad kebangsaan untuk melakukan jelajah ini dilihat tepat kerana sekurang-kurangnya Malaysia  tidak selesa berada dalam kepompong sendiri dan raih pengalaman berdepan pasukan dari benua Oceania.

Terutama dalam faktor fizikal, pemain kita jelas diuji sepenuhnya bila bertemu Papua New Guinea dan Fiji manakala New Caledonia, pula beri pengalaman dalam aspek berlainan terutama dalam corak permainan yang pantas.

Buat penyokong, tidak salah memberikan kritikan namun biarlah yang membina dan dalam masa sama biarlah berasas pandangan yang diberikan, bukannya bersifat hentam kromo.

Diharapkan dengan tiga lagi perlawanan persahabatan menentang Indonesia(6 September), Singapura (7 Oktober) dan Afghanistan(11 Oktober), pasukan negara sudah bersedia hadapi Piala AFF dan pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

Advertisement

Must Watch Video