Skip to main content

Rencana

Hubungan dingin punca Pallares tidak menjadi?

pablo-pallares.jpg


"Aku rasa depa tu ada masalah." Itu antara luahan salah seorang penyokong bola sepak Kedah selepas perlawanan antara Kedah dan Negeri Sembilan semalam.

Kata-kata yang keluar daripada mulut seorang penyokong itu membuatkan saya dan jurukamera tersenyum kerana ia sebenarnya menjadi perbualan kami selepas perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan di Stadium Darulaman itu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas pasukan pelawat, Negeri Sembilan bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 3-3.

Namun, bukan kebangkitan Skuad Jang menjadi perhatian saya tetapi adalah kelibat penyerang import Kedah, Pablo Pallares, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua menggantikan Andik Vermansah ekoran kecederaan.

Jelas kelihatan daripada gerak tubuh, pemain dari Sepanyol berusia 31 tahun itu begitu bersemangat untuk beraksi, seolah-olah mahu membuktikan sesuatu kepada barisan jurulatih dan penyokong bahawa khidmatnya masih relevan bersama pasukan itu.

Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusof, dilihat memeluk Pallares dan memberi kata-kata semangat kepada pemain itu sebelum masuk ke padang.

Namun apakan daya, pemain yang pernah beraksi dalam LaLiga Sepanyol itu masih gagal pamer persembahan memikat.

Berdasarkan pemerhatian penulis, Pallares sebenarnya bukan tidak bagus tetapi jelas kelihatan dia tidak mendapat sokongan oleh rakan sepasukan terutama daripada perancang tengah Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva.

Boleh dikira berapa kali, dia menerima bola daripada rakannya itu sepanjang 45 minit permainan yang akhirnya menyaksikan Kedah gagal menambah jaringan sebaliknya dibolosi dengan dua gol.

Situasi di depan mata itu mewujudkan spekulasi bahawa hubungan Pallares dengan Liridon dan Sandro kini dingin dan kedengaran juga pemain itu mula merapatkan dirinya dengan pemain tempatan.

Mungkin, itu antara jalan terbaik buat dirinya untuk beraksi dengan baik di atas padang, namun saya berasakan ia sudah terlewat dan bukan lagi rahsia pemain itu akan meninggalkan pasukan pada jendela kedua perpindahan Liga Malaysia pertengahan bulan ini.

Hubungan dingin pemain dengan rakan sepasukan juga pernah berlaku kepada beberapa pemain antarabangsa antaranya Cesc Fabregas.

Awal tahun ini, pemain Sepanyol itu ada mendedahkan hubungannya dengan rakan-rakan di Barcelona dingin yang dilihat sebagai antara punca aksi kurang memuaskannya sejak akhir-akhir ini.

Jadi, tidak hairanlah kenapa dan mengapa Pallares juga gagal menyerlah bersama Kedah selepas sekadar menyumbat tiga gol daripada lapan perlawanan liga setakat ini. 

Advertisement

Must Watch Video