Skip to main content

Rencana

Harapan dari bumi Munich

allianz-arena-rot-hp.jpg
Komunikasi semestinya menjadi antara aspek paling penting dalam dunia bola sepak tidak kira sama ada kelompok amatur atau bintang profesional.

Bermula daripada perbincangan dalam bidang pengurusan pasukan sehingga ke perhubungan antara pemain di dalam dan luar padang, ia menjadi tulang belakang dalam struktur bola sepak.

Bahkan, kelab elit dunia seperti Manchester United, Liverpool, Real Madrid dan lain-lain memerlukan nilai komunikasi tinggi bagi mencapai kejayaan di pentas Eropah mahupun dunia.

Justeru, berdasarkan pemerhatian yang penulis lakukan ketika dalam tugasan di Munich, Jerman bagi Kem Explorer Allianz peringkat antarabangsa, nilai komunikasi merupakan elemen yang paling dititikberatkan oleh barisan kejurulatihan di sana.

Pendedahan di peringkat awal, barisan peserta telah didedahkan dengan pergaulan bersama pemain dari negara lain yang turut menyertai program edisi kali ini.

Situasi itu turut diakui salah seorang wakil dari Malaysia, Muhammad Firdaus Amirrudin, yang menyifatkan pendedahan bersama pemain dari serata dunia seperti Argentina, Jerman, Sepanyol dan Afrika Selatan seawal usia 14 hingga 16 tahun mampu menjadikan titik permulaan pemain muda lebih sempurna.

Dia yang sekali lagi menerima sentuhan jurulatih program antarabangsa Bayern Munich, Thomas Dhollner, turut meluahkan rasa gembira kerana selesa dengan pendekatan yang diamalkan pengendali itu sejak kali pertama bertemu ketika di Singapura.

Selain menegaskan kepentingan dalam komunikasi antara pemain, pendekatan mudah yang diterapkan Dhollner bagi memastikan setiap peserta lebih senang memahami kehendak program juga diakui bukan sahaja Firdaus tetapi pemain lain sebagai kunci utama kem kali ini.

Bagi penulis, prinsip mementingkan disiplin, memupuk keperluan komunikasi serta memastikan peserta tidak terlepas konsep asas dalam dunia bola sepak pastinya memberikan pengalaman berharga buat setiap peserta Kem Explorer Allianz kali ini.

Siapa tahu, mungkin daripada teknik dan panduan asas yang diterima di Munich mampu melahirkan pemain bola sepak berkualiti buat negara kita.

Advertisement

Must Watch Video