Skip to main content

Rencana

Giliran Arteta, Lampard Sudah Tiba

artetalampard.jpg
Memang sudah menjadi trend bola sepak masa kini, andai pasukan yang dibimbing tewas beberapa kali secara berturut-turut, akan bermula lah #out dan kali ini, mungkin Frank Lampard sudah mula merasainya.

Jika sebelum ini, #oleout begitu popular di laman sosial susulan kegagalan mara ke peringkat kalah mati di Liga Juara Juara Eropah, suasana tegang itu dilihat semakin reda susulan persembahan baik sewaktu berdepan musuh setempat, Manchester City biarpun perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Mikel Arteta yang membimbing Arsenal kini ibarat telur di hujung tanduk selepas Arsenal memulakan liga dengan pencapaian terburuk sejak 39 tahun. Mereka kini berada di tangga ke 15, dengan 14 mata selepas 13 perlawanan. Malah hanya meledakkan 11 gol secara keseluruhan di Liga Perdana Inggeris biarpun memiliki Pierre Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette di barisan hadapan. Malah para peminat sudah mula muak dengan pelbagai alasan dari pihak pengurusan Arsenal dan Arteta sendiri. Manakan tidak, Arsenal lebih banyak memungut kad merah berbanding mata dan gol sejak hampir dua bulan lalu.

Bagi Frank Lampard, kekalahan dua kali berturut-turut di saingan liga menyaksikan dirinya turut menjadi tempat melepaskan kemarahan oleh peminat Chelsea. Biarpun kritikan yang diterima tidak sehebat Ole Gunnar Solskjer dan Mikel Arteta, namun sudah ada cakap-cakap belakang yang mempertikaikan kredibiliti Lampard.

Dua kekalahan itu secara tidak langsung menafikan peluang Chelsea untuk menduduki takhta liga dan tewas dua perlawanan dalam tempoh empat hari turut mencerminkan kualiti pemain yang dimiliki. Dua bintang baru iaitu Timo Werner dan Kai Havertz dilihat masih gagal menyerlah.

Tanpa berselindung, Lampard menegaskan anak-anak buahnya dilihat sudah terlalu selesa dan mula melakukan kesilapan kesilapan mudah yang akhirnya membawa padah. Chelsea bakal berdepan kunjungan West Ham United selepas ini dan kemenangan pastinya ditagih apatah lagi perlawanan berlangsung di Stamford Bridge.

Advertisement

Must Watch Video