Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

'Gelora' di Bung Karno

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

barracuda2.jpg
Ini bukan kali pertama saya menjejakkan kaki di Stadium Gelora Bung Karno yang terletak di Jakarta Tengah, Indonesia untuk menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pertemuan dua musuh tradisi, Malaysia menentang Indonesia.

Pada 2011, saya berpeluang berada di gelanggang keramat skuad Garuda itu untuk membuat liputan perlawanan akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA selepas tidak berkesempatan untuk menyaksikan aksi final Piala Suzuki AFF 2010 di venue yang sama.

Apa yang saya boleh katakan, selepas lapan atau sembilan tahun berlalu, budaya sokongan bola sepak di negara republik itu tidak banyak berubah apabila mereka gemar melakukan provokasi keterlaluan ke atas penyokong lawan.

Situasi itu sekali lagi dapat dilihat dalam pertemuan kedua-dua pasukan semalam, apabila penyokong tuan rumah tidak henti-henti mengeluarkan kata-kata kesat kepada ratusan penyokong negara yang hadir ke stadium sejak perlawanan bermula.

Keadaan bertambah buruk apabila penyokong tuan rumah bertindak ganas menceroboh kawasan padang untuk menyerang penyokong negara selain membaling botol dan bom asap dalam insiden babak kedua perlawanan berkenaan.

Terdahulu, beberapa jam sebelum perlawanan, 'hujan batu' menyambut ketibaan penyokong negara di perkarangan stadium berkenaan dan selepas perlawanan, bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku, penyokong negara dikuarantin di dalam satu tempat.

Apa yang berlaku di luar padang turut dirasai pemain-pemain negara di atas padang. Kekuatan mental pemain cukup teruji hingga hampir semua pemain negara memulakan permainan dengan perasaan gugup gara-gara provokasi penyokong lawan.

Sesudah perlawanan, beberapa pemain negara berkongsi mengenai pengalaman pertama mereka beraksi di GBK. Mereka menganggap ia seperti medan perang dan mengakui kemampuan lawan mampu tergugat dengan sokongan luar biasa penyokong Indonesia.

Ia memberi pengalaman baru kepada hampir semua pemain negara apatah lagi mereka terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda ke hotel penginapan.

Rentetan insiden 'panas' itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kini dalam bahaya gara-gara kawalan keselamatan yang longgar.

Badan induk bola sepak Indonesia itu berdepan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kemungkinan besar akan beraksi tanpa penonton dalam perlawanan berikutnya untuk kempen kelayakan kali ini.

Advertisement

Must Watch Video