RENCANA
FAS: Tiada muafakat membawa rebah
Semakin meruncing dan berserabut -- itulah yang boleh digambarkan mengenai permasalahan dalam pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) setelah perletakan jawatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku presidennya. Apakah tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pemimpin-pemimpin yang tinggal dalam pengurusan Selangor ketika ini sedangkan liga akan bermula hanya tiga minggu lagi?
Sudah pasti ini mendatangkan kebimbangan kepada peminat, apatah lagi kepada pemain-pemain, dalam keadaan ‘kapal’ mereka semakin karam dipukul ombak ganas.
Teratas dalam kotak pemikiran mereka harus apakah Selangor akan masih menyertai Liga Super bermula 21 Januari ini dan kalau pun ya, buat pemain dan jurulatih, apakah mereka akan masih menerima gaji pada akhir bulan nanti.
Iklan
Ini sudah tentu akan mengganggu persiapan pasukan, terutama dalam aspek mentaliti pemain.
Mengapa ini mesti berlaku sekiranya setiap individu dalam pengurusan memahami semangat berpasukan dan kesabaran dalam memperjuangkan bola sepak dan bukan pada diri sendiri serta parti politik.
Teringat kata-kata azimat Allahyarham Mokhtar Dahari yang bermain demi bendera di dada dan peminat yang hadir memberi sokongan.
Itu menggambarkan betapa besarnya jiwa beliau dalam memperjuangkan maruah negeri atau pun negara sebagai seorang pemain.
Begitu juga dengan Datuk Mazlan Harun yang menyerahkan jiwa-raganya, termasuklah wang ringgit, bagi memastikan maruah pasukan Selangor terus diangkat dan dijulang.
Sama juga dengan Dato Mohd Aini Taib yang dapat mengekalkan kegemilangan bola sepak Selangor ketika zaman Azman Adnan mengepalai serangan pasukan.
Apa yang dapat dilihat daripada perjuangan mereka itu adalah kejujuran dan roh dalam memperjuangkan bola sepak itu amat tinggi.
Di mana kerjasama dan semangat berpasukan yang dibina serta perancangan yang rapi itu dapat membantu memartabatkan pasukan negeri.
Ini membuatkan pasukan-pasukan lain mencemburui kejayaan yang dibina Selangor selain menjadi tempat rujukan bagi sesetengah pengurusan.
"Muafakat" dalam sesebuah organisasi amat penting kerana dengan keharmonian yang ada itu pasti akan membawa berkat.
Must-Watch Video