Skip to main content

Rencana

Faizal Saari: Taubat atau ‘tau buat’?

faizal-saari-masih-berpeluang-sarung-jersi-negara.jpg
Berbeza dengan pemain-pemain lain, Faizal Saari harus berstatus seorang pemain hoki ‘selebriti’.

Masakan tidak. Dia sangat sukakan pujian, sanjungan dan pengiktirafan serta diangkat hampir ke taraf ‘dewa’, yang malangnya sudah kerap membuat dia lupa diri.

Di sebalik usia 25 tahunnya, Faizal sebenarnya sudah lama tidak boleh berselindung dengan sifat ‘keanak-anakan’ yang sentiasa mahu digula-gulakan, ditimang-timang dan dibelai-belai yang tanpanya, dia akan merajuk, membawa hati dan menyendiri.

Keadaannya seolah-olah dia mahu diri dan perasaannya difahami oleh semua orang di sekelilingnya – pegawai-pegawai di Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terutama sekali – tanpa dia sendiri pernah cuba untuk mengerti kehendak orang lain mahupun terhadap syarat-syarat dan peraturan.

Perihal Faizal yang pernah diumpamakan sebagai “Messi dalam sukan hoki” gara-gara gelecekan, ketajaman sentuhan penyudah dan ledakan pukulan sudut penaltinya, sudah banyak diperbualkan kawan mahupun lawan.

Ketika berlangsungnya Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium dari 20 Jun-5 Julai 2015, ramai pemain dan jurulatih asing yang khabarnya ternanti-nanti untuk menyaksikan kelicikan dan kelincahan Faizal daripada apa yang didengar mereka tapi kesudahannya mereka kecewa kerana pemain itu dirumuskan sebagai “indah khabar dari rupa”.

Ini diandaikan kepada Faizal Saari yang memiliki dua perwatakan bercanggahan – ketika cergas dan penuh bertenaga, dia mampu melakar pelbagai magis di atas padang tapi ketika kurang persiapan dan jauh di bawah tahap kecergasan diperlukan, dia seorang pemain yang sekadar biasa-biasa saja.

Antwerp, Belgium menyerlahkan perwatakan Faizal dari sisi yang kedua itu hingga dia bukan saja dipersendakan lawan, malah turut mengundang rasa tidak puas hati rakan-rakan sepasukannya sendiri.

Semua itu berbalik kepada perumpamaannya sebagai “Messi dalam sukan hoki” yang jelas tidak bertepatan. Bezanya, sambil Messi – pemenang lima kali Ballon d’Or – sentiasa berpegang kepada disiplin dan tidak jemu-jemu mengasah kemahiran, Faizal pula dikenali kerap ponteng latihan.

Bukan sekali atau dua dia melakukannya tapi ia juga menjadi kesalahan pengurusan pasukan kebangsaan dan KHM yang terlalu mudah memaafkannya hingga dia terus terbuai-buai dengan sifat keanak-anakan dan sikap mementingkan diri.

Akhirnya, Faizal dan KHM bertemu buku dengan ruas pada 19 Disember tahun lalu. Lembaga Eksekutif KHM, dalam memperkenalkan kod perilaku pemain-pemain, memutuskan untuk menggantung Faizal dan seorang lagi pemain, Syamim Yusof, selama enam bulan gara-gara ponteng latihan skuad kebangsaan pada bulan Oktober sebelumnya.

Seperti yang didakwa  Faizal kemudian, penggantungan itu membuat dia hampir gila – barangkali kerana dia sudah hilang pujian dan sanjungan.

Lebih menjengkelkan, Faizal, yang memulakan kerjaya antarabangsa bersama skuad senior negara pada usia 18 tahun dalam Cabaran Juara-Juara II di Dublin, Ireland pada 2009, semakin sebati dengan jolokan “budak nakal hoki Malaysia”.

Terbaru, Faizal mendakwa sudah insaf dengan segala kerenah dan gelagat masa lalunya, dengan janji untuk berubah sikap serta memberikan segala-galanya untuk menyarung jersi skuad The Malaysia Hockey Tigers semula.

Harus ramai yang sedia memaafkan, apatah lagi dengan sumbangan pentingnya dalam membantu Terengganu menjulang kejuaraan Piala Razak hujung minggu lalu di samping dia diumumkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan penjaring terbanyak kejohanan.

Dalam pada itu, harus tidak kurang juga mereka yang memandang sinis terhadap percanggahan perwatakannya.

Sama ada Faizal benar-benar sudah insaf dan berubah, hanya masa dan keadaaan akan menghakiminya tapi seperti sesiapa saja yang pernah melakukan kesalahan, dia tidak harus dinafikan peluang kedua.
 

Advertisement

Must Watch Video