Skip to main content

Rencana

Faiz Subri tetap “hit” di Britain, Indonesia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

10117faizsubri.jpg

Dia bukan pun pemain kebanggaan mereka tapi Mohd Faiz Subri masih tetap “hit” di Britain dan Indonesia.

Laman-laman sukan utama British, yang terkenal gemar mengagungkan bola sepak, liga dan pemain yang ‘cari makan’ di negara itu, tidak lokek untuk memberi ruang yang ‘lumayan’ dalam mengiktiraf jaringan tercantik pada 2016.

Lebih daripada itu, laman mirror.co.uk turut menuntut bahagian atau peranan mereka dalam kemenangan Faiz itu.

“Oh, dan kami menuntut kredit sepenuhnya di atas kemenangannya (Faiz) kerana ia hampir pasti berdasarkan liputan luar biasa kami (terhadap jaringan itu) tahun lalu…” kata laman berkenaan.

Ia merujuk kepada satu pautan laman itu kepada laporannya bertarikh 16 Februari 2016 ketika Faiz baru melakukan jaringan ajaibnya itu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Laman mirror.co.uk ketika itu awal-awal lagi mengangkatnya sebagai layak meraih Anugerah Puskas di samping membandingkannya sebagai lebih baik daripada jaringan sepakan percuma Roberto Carlos untuk Brazil ketika menentang Perancis dalam Le Tournoi 1997 (ketika itu Anugerah Puskas belum diperkenalkan).

Sebagai membuktikan lagi pendirian mereka, laman berkenaan memuat naik dua tinjauan pendapat yang berkisar kepada jaringan Faiz itu.

Tinjauannya mengenai sama ada Faiz selayaknya memenangi anugerah berkenaan, mendapat respons Ya 93% Tidak 7% dan satu lagi tinjauan mengenai sepakan percuma siapakah yang lebih cantik, menemukan respons Faiz Subri 68% dan Roberto Carlos 32%.

faizberhakmenang


faizbetterthanrobertocarlos

Dalam pada itu, laman fifa.com terbaru mengumumkan pencalonan bagi Anugerah Puskas menerima keseluruhan 4.3 juta undian dari seluruh dunia.

Dengan Faiz sebelumnya diumumkan mendapat 59.5 peratus, maka bolehlah diandaikan dia meraih kira-kira 2.56 juta undi keseluruhan, jauh mengatasi pesaing terdekat, Marlone (22.86 peratus), yang meraih 983,000 undi atau perbezaan 1,577,000 undi.

Pelbagai lagi laman-laman bola sepak utama di Britain berlumba-lumba menyajikan sanjungan dan “pujian melangit” mereka terhadap kemenangan Faiz, antaranya BBC News, eurosport.co.uk, dailymail.co.uk, thesun.co.uk, www.telegraph.co.uk dan dailystar.uk.

Lebih dahulu, eurosport.co.uk turut membuat tinjauan pendapat seawal November lalu lagi ketika 10 calon pusingan pertama diumumkan, dengan keputusan berikut: Mohd Faiz Subri (Malaysia) 3.3k, Lionel Messi (Argentina) 1.6k, Hal Robson-Kanu (Wales) 1.2k, Neymar (Brazil) 829, Saul Niguez (Sepanyol) 729, Mario Gaspar (Sepanyol) 444, Simon Skrabb (Finland) 382, Hlompho Kekana (Afrika Selatan) 371, Marlone (Brazil) 244 dan Daniuska Rodriguez (Venezuela) 234.

Oh… tidak ketinggalan juga laman real-madrid-cf.leadstories.com turut memuatkan pautan yang antara lain memaparkan: “Pemain Malaysia pertama yang tercalon untuk Anugerah Puskas berkesudahan dengan memenanginya. Sepakan percuma lencong menakjubkan oleh Mohd Faiz Subri terserlah sebagai gol tercantik pada 2016 hasil undian berjuta-juta peminat dari seluruh dunia menerusi fifa.com.”

“Ini Dia Sosok Asia Pertama Peraih Puskas Award!” demikian tajuk laman obsessionnews.com Indonesia, sambil laman Indosport meneriakkan tajuk: “Mohd Faiz, Bocah Kampung Peraih Puskas Award”.

Harus lebih utama, laman dengan jumlah pembaca terbesar, kompas.com, melintangkan tajuk “Cetak Gol Terbaik Dunia, Pemain Malaysia Raih Puskas Award 2016”.

Sedar tak sedar, banyak juga laman-laman sukan antarabangsa yang rupa-rupanya turut sama meraikan detik gemilang sekali seumur hidup Mohd Faiz Subri yang bangga dikongsi seluruh rakyat Malaysia.

Bukanlah media dan media sosial tempatan saja…

Advertisement

Must Watch Video