KUALA NERUS – Dominasi Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam kejohanan olahraga Varsity Track & Field (VTF) 2026 Siri 2 terus terserlah apabila kuartet 4x100 meter lelaki institusi pendidikan itu sekali lagi mengukir sejarah dengan memperbaharui rekod kejohanan menerusi catatan 40.51 saat di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, petang tadi.
Keputusan itu meletakkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 42.11 saat, manakala Universiti Multimedia (MMU) meraih tempat ketiga selepas mencatat masa 42.51 saat.
Pengurus pasukan UPM, Hasmawi Azlie Nasaruddin berkata, kejayaan atlet-atletnya memperbaharui rekod dalam tempoh dua hari berturut-turut membuktikan keberkesanan program pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan.
“Pencapaian ini menunjukkan atlet kami sentiasa berada dalam landasan yang betul. Program latihan yang dirancang tidak pernah terhenti walaupun selepas sesuatu kejohanan berakhir.
"Saya tidak melihat ianya terlalu awal untuk setiap atlet ini memecahkan momentum masing-masing di VTF ini walaupun sasaran sebenar kami di SUKIPT nanti," berkata Hasmawi Azlie Nasaruddin selaku pengurus pasukan UPM sejak 2024.
"Walaupun tidak dinafikan rata-rata atlet kebangsaan merupakan dari kalangan pelajar UPM itu sendiri, namun kami juga turut bersaing dengan lain-lain IPT untuk merebut slot ke AUG(Sukan Universiti ASEAN) di mana pencabar terdekat kami sudah tentu dari UPSI(Universiti Pendidikan Sultan Idris). Cabaran di VTF juga sentiasa meningkat dari tahun demi tahun di mana kita boleh lihat beberapa atlet dari lain-lain IPT mampu untuk memberi cabaran kepada atlet-atlet kebangsaan, ianya peluang sama rata untuk semua," tambahnya lagi.
Terdahulu pada hari pembukaan siri kedua VTF 2026 ini, Muhammad Fakrul Afizul Nasir turut mencipta sensasi buat kem UPM setelah memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 400 meter lari berpagar dengan catatan 50.53 saat. Kejayaan penuntut UPM itu memperbaharui rekod 400 meter lari berpagar kebangsaan miliknya sendiri yang mencatat 51.11 saat pada dua tahun lalu.