Skip to main content

Rencana

Everton paling berbelanja besar

koeman-050517.jpg
Tidak dapat dinafikan, sejak tamatnya saingan liga antarabangsa 2016/2017, Everton muncul satu-satunya pasukan yang berbelanja besar buat masa ini jika dibandingkan dengan pasukan lain dalam Liga Perdana Inggeris.

Dengan Ronald Koeman yang pernah dikaitkan dengan skuad kebangsaan Belgium mendapat bajet besar, beberapa nama telah berjaya dipancing bagi memperkuatkan skuad The Toffes musim hadapan.

Kedudukan benteng terakhir skuad Everton kini sah menjadi milik Jordan Pickford yang memecahkan rekod kelab dengan nilai pembelian hampir 30 juta pound dari Sunderland, menjadikan Pickford penjaga gol ketiga termahal di dunia.

Kehadiran Pickford disertai dengan kemasukan Michael Keane yang memilih untuk bersama Everton selepas beraksi cemerlang dengan Burnley pada musim lalu.

Tidak terhenti setakat itu, Koeman turut berjaya mendapatkan gandingan buat Ross Barkley apabila membawa masuk ketua pasukan Ajax Amsterdam, Davy Klaassen berusia 24 tahun.

Dengan kemasukan pemain-pemain baru bakal memperkuatkan jentera pertahanan dan tengah, barisan serangan tidak terkecuali apabila dua pemain muda, Sandro Ramirez dan Henry Onyekuru turut berjaya dipancing bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan Romero Lukaku.

Beberapa nama telah menyarung jersi The Toffes, tetapi penulis berasakan kehadiran orang lama, Wayne Rooney, adalah tepat pada masanya untuk membimbing pemain muda beraksi dalam liga yang kompetitif. 

Tambahan pula, Everton turut layak beraksi dalam play off Liga Europa musim hadapan.

Biarpun mengakhiri liga dengan kedudukan ketujuh musim lalu, penulis berasakan bagi musim hadapan, Everton adalah salah satu pasukan yang perlu diberikan perhatian dan mampu mencabar kedudukan empat teratas liga berdasarkan senarai pemain yang mereka miliki ketika ini.

Advertisement

Must Watch Video