Skip to main content

Rencana

EPL kekal perlumbaan dua kuda?

cover.jpg
Peminat Manchester United pasti tidak akan menyetujuinya. Dan senada dengan mereka harus penyokong Chelsea, Tottenham dan Arsenal yang melengkapkan kedudukan enam teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Namun, sebagaimana kesudahan musim 2018/19 itu, Manchester City dan Liverpool diramalkan kekal menguasai saingan musim ini, meninggalkan pesaing lain sekadar berebutkan dua slot yang tinggal untuk ke Liga Juara-Juara.

Pertikaikannya selama mana anda mahu tapi kita semua harus menunggu sehingga 17 Mei tahun depan untuk melihat sendiri kesudahannya.

EPL, seperti saban tahun kebelakangan, bukan berkisar kepada saingan seimbang.

Malah, untuk sebahagian besar kewujudannya, ia hanya dikuasai sebilangan kecil kelab, yang sama ada paling berbakat atau paling berduit – lazimnya kedua-duanya – kecuali “keajaiban” Leicester City pada musim 2015/16.

Hanya enam pasukan dalam sejarah 27 tahunnya pernah menjuarai EPL dan daripada jumlah itu, hanya empat pernah memenanginya lebih daripada sekali.



Dan andai ‘kebangsawanan’ dua kelab teratasnya terus terserlah, maka ia akan menjadi perebutan di antara City dan Liverpool sekali lagi dan selebihnya bersaing untuk tempat ketiga.

Malah, jika tidak kerana satu percubaan yang dikeluarkan di atas garisan gol dengan perbezaan cuma 11.7 milimeter musim lalu, Liverpool yang harus menjulang trofi sebagai menamatkan penantian 29 tahunnya.

Tahun ini menandakan genap 30 tahun ‘kemandulan’ Liverpool – The Reds kali terakhir memenangi liga pada 1989/90 di bawah pengendalian Kenny Dalglish pada zaman sebelum pengenalan EPL – dan perbezaan cuma satu mata dengan City musim lalu, memungkinkan skuad Jurgen Klopp itu mengakhirinya.

“Ini adalah tahun kami,” sorakan itu sudah kerap didengar daripada gerombolan The Kop.

Seperti ditampilkan laman fivethirtyeight.com, kedua-dua City dan Liverpool boleh mendabik dada dengan skuad yang lengkap hingga tidak perlu terlalu kisahkan pasaran perpindahan terbaru sehingga tengah malam kelmarin dalam memperkuatkan pasukan masing-masing.



FiveThirtyEight memberikan penarafan 94.2 untuk City mengulangi kejayaan – tiga musim berturut-turut jika itu berlaku – disusuli Liverpool dengan penarafan 92.9.

City dan Liverpool, menurut laman itu lagi, tidak melakukan banyak perubahan musim panas ini kerana baik Pep Guardiola mahupun Klopp tidak berasakan itu perlu demi kestabilan, persefahaman dan kesepaduan.

The Citizens hanya memberi penekanan mendatangkan pemain tengah bertahan, Rodri, daripada Atletico Madrid sebagai melengkapkan kiub Rubiknya.

Rodri tampil dengan CV mengagumkan – peranannya bersama Atleti adalah untuk merencatkan serangan lawan dan mengumpan bola kepada barisan depan dengan reputasi selaku pemain tengah ketiga paling berjaya dalam LaLiga – mengatasi pesaing seperti Toni Kroos, Ivan Rakitic, Luka Modric dan Sergio Busquets.

Sebelum ketibaannya, City sudahpun menjadi pasukan terbaik EPL daripada segi memegang bola dan menyerlahkan penguasaan pada purata 68 peratus dalam setiap perlawanan. Dengan Rodri sebagai penambahan, City sekadar akan meluaskan kuasa.

Liverpool, sebaliknya, memilih untuk tidak mendatangkan bintang melainkan dua bakat muda -- Sepp van den Berg dan Harvey Elliott – di samping penjaga gol pelapis, Adrian.

Namun, dengan kembalinya Alex Oxlade-Chamberlain dan Adam Lallana daripada senarai kecederaan, Klopp akan memiliki lebih kedalaman dalam skuadnya.

Dipadankan dengan trio serangan Mohamed Salah, Sadio Mané – pemenang bersama anugerah Kasut Emas musim lalu – di samping Roberto Firmino yang sesama mereka menyumbangkan 113 gol sepanjang dua musim lalu, The Reds kekal mengancam.

Daripada segi kestabilan dalam pasukan, City dan Liverpool, ihsan tidak melakukan banyak perubahan, sekilas pandang akan mengatasi yang lain melainkan ada pasukan yang akan dirasuk jelmaan Leicester untuk menidakkan EPL 2019/20 sekali lagi menjadi “perlumbaan dua kuda”.

Advertisement

Must Watch Video