RENCANA
"England terus kempunan"
1966. Itu tahun keramat yang sentiasa dalam ingatan penyokong pasukan England.
Ini kerana pada waktu itulah skuad The Three Lions meraih gelaran tunggal mereka di pentas antarabangsa iaitu saingan Piala Dunia yang dianjurkan di laman sendiri selepas menewaskan Jerman Barat dalam masa tambahan.
Sejak daripada itu, sukar buat England untuk mengulangi pencapaian berkenaan, malah ada ketika beberapa kali gagal melayakkan diri ke kejohanan utama.
Iklan
50 tahun berlalu dan penyokong England sekali lagi terpaksa berduka, kali ini tersingkir pada pusingan 16 terbaik kejohanan Euro 2016.
Siapa sangka pasukan yang membariskan ramai pemain ternama yang beraksi di Liga Perdana Inggeris mampu ditundukkan oleh Iceland, negara yang hanya mempunyai populasi yang sama seperti jumlah penduduk di Leicester.
Kekalahan yang turut mengakibatkan Roy Hodgson meletakkan jawatannya sebagai pengurus pasukan.
Atas kertas, England lebih gah dalam setiap aspek daripada persiapan sehinggalah kualiti pemain di mana mereka membariskan pemain-pemain muda.
Eric Dier, Dele Alli, Marcus Rashford... semua pemain ini menyerlah bersama kelab masing-masing sepanjang musim ini.
Namun ia gagal diterjemahkan di pentas antarabangsa dan ia menjadi antara punca mengapa England terus kempunan untuk memburu kejuaaan.
Rekod bersih yang dicipta sepanjang pusingan kelayakan tidak membawa sebarang makna apabila ia tidak mampu dikekalkan dalam kejohanan sebenar.
Lantas cabaran kini buat pengganti Hodgson untuk membawa pembaharuan yang diharapkan agar The Three Lions tidak lagi alami kekecewaan yang serupa pada kejohanan akan datang.
Berbalik semua pada saingan Euro 2016, penulis yakin beberapa kejutan akan terus berlaku dengan beberapa pasukan pilihan sudahpun tersingkir daripada kejohanan.
Sewaktu artikel ini ditulis, saingan sudah pun memasuki pusingan suku akhir dengan juara baharu bakal dimuktamadkan selepas Sepanyol tersingkir.
Must-Watch Video