Skip to main content

Rencana

Djokovic kalah sorak, menang gelaran

djoker.jpg
Novak Djokovic mungkin terus beraja dalam Kejohanan Wimbledon tapi Roger Federer kekal bersultan di hati peminat di Kelab Seluruh England di barat daya London.

Kesudahan perlawanan akhir epik hampir lima jam yang dimenangi Djokovic 7-6 (5), 1-6, 7-6 (4), 4-6, 13-12 (3) selepas tengah malam tadi, turut gagal mengubah hakikat itu.

Benar, pemain Serbia itu pada satu ketika merenung kekalahan dalam set penentuan ketika Federer mendahului 8-7 dengan servis di tangannya, hanya untuk Djokovic seakan-akan mengubah takdir untuk merampas kemenangan.

Namun, di sebalik segala keriuhan daripada detik-detik mencemaskan yang diselangi pukulan-pukulan menakjubkan, sukar sebenarnya untuk terlepas pandang bahawa majoriti penonton di Gelanggang Tengah SW19 itu mengharapkan Federer – pada usia 37 tahun 11 bulan – yang akan unggul.

Andainya itu berlaku, maka legenda Switzerland itu akan meraih pengiktirafan selaku juara tertua dalam kejohanan grand slam.

Tapi takdir dan saki-baki semangat melawan dan kekuatan mental Djokovic – juara dua kali Wimbledon sebelumnya – tidak merelakan itu terjadi.

Pekikan “Let’s go Roger!” dan “C’mon, Roger, you can do it, Roger!” terus bergema hingga ke kemuncaknya apabila Federer lebih dahulu sampai ke mata akhir dengan memegang servis pada kedudukan 8-7 dalam set kelima itu.

Barangkali, inilah juga yang memisahkan kedua-dua pemain itu apabila Djokovic bukan saja enggan mengalah, malah menyerlahkan sisi mentalnya yang lebih kuat di samping aspek ketahanan fizikalnya yang lima tahun lebih muda.

Namun, demi memberi keadilan kepadanya, Djokovic bukanlah jenis pemain yang akan memasuki medan pertempuran tanpa persediaan rapi – tambahan dengan kesedaran penonton Wimbledon tidak akan memihak kepadanya.

Seperti yang dikongsinya dalam sidang media selepas perlawanan, dari awal lagi dia sudah bersedia dengan membayangkan dalam kepalanya apa yang bakal dihadapi sambil terus mengingatkan dirinya supaya sentiasa kekal tenang dalam mendepani apa jua keadaan.

“Satu perkara yang saya berjanji kepada diri sendiri ketika memasuki gelanggang hari ini ialah perlunya saya kekal tenang dan tidak mudah terpengaruh. Saya tahu benar persekitaran yang akan saya hadapi,” katanya.

Kemenangan mudah 6-1 Federer dalam set kedua untuk mengikat kedudukan 1-1, turut gagal menggoyahkannya apabila segala yang dilakukannya kelihatan serba tak menjadi.

Didorong oleh himpunan kecil penyokongnya – antaranya keluarga, pasukan kejurulatihannya dan beberapa sahabat – Djokovic sekadar meneruskan apa yang telah sekian lama dilakukannya.



Sejak permulaan musim 2011, dia tampil selaku kuasa dominan baru dalam tenis lelaki di tengah-tengah Federer dan Rafael Nadal memasuki tahun kemuncak masing-masing.

Djokovic memegang rekod 21-10 ke atas Nadal sepanjang sembilan tahun lalu sambil rekodnya ke atas Federer – termasuk perlawanan akhir semalam – berdiri pada kedudukan 20-9.

Rekod semata-mata tidak bermakna apa-apa jika diukur daripada sokongan peminat yang jelas menyerlahkan Federer dan Nadal lebih menjadi pujaan di mana-mana gelanggang grand slam – dari Melbourne Park ke Flushing Meadows ke Roland Garros hinggalah ke Wimbledon.

“Apabila sokongan bukan memihak anda, maka anda harus membayangkan sesuatu yang berbeza,” katanya seperti dipetik The New York Times.

“Apabila penonton bersorak ‘Roger,’ ‘Roger,’ saya membayangkan ia ‘Novak,’ ‘Novak’.”

Dan lazimnya, Djokovic tidak terlepas mengucapkan terima kasih kepada penonton dengan isyarat menghembus ciuman dan menepuk-nepuk dadanya sambil memusingkan badannya ke keempat-empat bahagian tempat duduk tanda hormat.

Menyusuli kemenangannya selepas tengah malam tadi, dia tidakpun melakukan itu – sebaliknya sekadar berdiri tegak dan merenung tajam kepada penonton, tanda dia sudah menundukkan dua lawan sekali gus – Federer dan penonton yang menyebelahi lawannya itu.

Advertisement

Must Watch Video