Skip to main content

Rencana

Dinamik mentaliti Andy Murray

andy-murray-tennis.jpg
Umpama menyerah sebelum berjuang, begitulah ibaratnya keadaan pemenang tiga Grand Slam, Andy Murray ketika kembali ke acara perseorangan di Masters Cincinnati, berdepan Richard Gasquet yang sekadar memiliki pencapaian terbaik, mara ke separuh akhir di dua pentas yang terdahulu beri tuah buat Murray - Terbuka Amerika Syarikat (2012) dan Wimbledon (2013 dan 2016).

“Kaki saya terasa sedikit berat pada penghujung perlawanan. Apabila Richard melakukan pukulan drop, ada beberapa kali saya tak berlari ke arah bola, tidak memberi sebarang reaksi."

"Semua itu tidak ada kaitan dengan tulang pinggul saya, itu adalah saya yang tidak berlari ke arah bola.”

Benar, ada beberapa ketika Murray dilihat membiarkan pukulan lawan berlalu begitu sahaja tanpa usaha keras untuk cuba mematikannya sehingga menimbulkan persoalan, apakah Murray merasakan ada abangnya, Jamie atau Serena Williams berkongsi gelanggang dengannya ketika itu?

Murray tidak bermain secara solo sejak tersingkir ketika perlawanan pertama Terbuka Australia, di mana dia sebenarnya sudah berada di ambang persaraan dengan kebimbangan tentang masa depannya yang dikhuatiri sudah berakhir, sehinggalah dia menjalani pembedahan tulang pinggul pada 28 Januari dan menemui keyakinan untuk sekurang-kurangnya kembali ke gelanggang dalam acara beregu.

"Mentaliti saya tentang tenis kini sudah berubah selepas saya pulih daripada kecederaan."

"Sebelum ini saya terlalu bimbang tentang apa yang akan berlaku jika saya tewas tetapi sekarang saya sedar ia bukanlah segalanya."

Yang terpancar pada riak wajah Murray selepas tewas 6-4, 6-4 kepada Gasquet yang tua setahun daripadanya hanyalah lega, permainan di pusingan pertama itu telah berakhir - tanpa sebarang kesedihan atau kekesalan apabila tidak berjaya merekod kebangkitan selepas 7 bulan tidak beraksi secara solo.

“Ada banyak perkara yang saya boleh lakukan dengan baik pada perlawanan itu tetapi anda juga perlu lebih realistik dalam apa yang anda jangkakan, daripada segi bagaimana anda bermain sebenarnya dan memukul bola.”

Realitinya, Murray sudah terlalu jauh untuk mengejar koleksi kejuaraan Raja Gelanggang Tanah Liat, Rafael Nadal (18 Grand Slam) dan 'The Joker', Novak Djokovic (16 Grand Slam) , dimana kedua-dua figura ini masih gigih berjuang menambah gelaran disebalik tentangan dari generasi baharu tenis seperti Nick Kyrgios dan Dominic Thiem.

Sayangnya perubahan mentaliti Murray yang menyelamatkannya dari depresi menyaksikan dia hampir tidak berpeluang untuk berada seiringan dengan dua rakan seperjuangan yang berkongsi era dengannya itu, walaupun kini Murray masih belum menggantung raket secara rasmi. 

Sungguh pun begitu, kebanyakan penyokong setia merasakan Murray sepatutnya sudah lama bersara, namun tetap percaya Murray masih memiliki ciri seorang legenda yang tahu bila perlu berhenti. 

Walaupun tanpa tekanan, Murray kini hanya perlu pastikan penamat kerjayanya tidak disamakan seperti kapal yang karam, tenggelam dek zaman ketika dia berada di ranking ke- 326 dunia ketika ini kerana pengikut masa hadapan tenis perlu tahu tentang kehandalan Murray pada zaman kegemilangannya dahulu.

Advertisement

Must Watch Video