Skip to main content

Rencana

Delia ‘punch card’

delia-arnold.jpg
1 Ogos 2019, Delia Arnold catat detik penting buat dirinya apabila masuk bekerja buat kali pertama. 

Bekas pemain wanita nombor 12 dunia dari Kuala Lumpur itu memulakan kerjaya selepas sukan sebagai jurulatih remaja wanita skuasy kebangsaan. 

Delia, yang bersara daripada dunia profesional skuasy lebih kurang 3 tahun lalu, telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak perempuan, kini bersedia membimbing pasukan skuasy seperti ayahnya, Raymond Arnold, dan abangnya, Timothy Arnold. 

Ketika menyokong pemain remaja negara yang beraksi di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, saya sempat bersembang dengan bekas rakan sepasukan, Delia, yang ceria dan bersemangat memulakan lembaran baru dalam hidup dan kerjayanya. 

1. Delia tahniah! Di mana mulanya idea untuk menjadi jurulatih skuasy? 
Delia: Sebenarnya setelah bersara, saya terfikir untuk mengambil kursus sebagai pelatih fizikal. Namun, selepas Pengarah Kejurulatihan Skuasy, Mejar (B) S. Maniam, membuka peluang untuk saya membimbing pemain remaja, saya terbuka hati untuk mengambil cabaran baru sebagai jurulatih.

2. Perasaan anda hari pertama bekerja? 
Delia: Hahahaha.. Saya tak pernah kerja langsung.. Kerja dulu main skuasy sahaja.. Sejujurnya sememangnya gugup dan bimbang. Sebab dunia atlet dengan dunia bekerja dalam suasana korporat cukup berbeza. Tetapi saya percaya sikap ingin belajar dan karakter positif yang saya ambil dari sukan, akan bantu saya jadi jurulatih yang baik. 

3. Apa mungkin cabaran yang akan Delia lalui? 
Delia: Jika dulu sebagai atlet, kesemua kerja keras adalah untuk diri saya mencapai kemenangan. Tapi sebagai jurulatih, fokus utama adalah kepada para pemain saya. Juga, saya perlu biasakan diri buat ‘paperwork’ dan ‘punch card’. Hahahaa…

4. Dua skil terbaik anda yang ingin diturunkan kepada pemain? 
Delia: Semestinya pukulan lintang ‘nick’ dan juga pukulan kuat rendah.

5. Harapan Delia sebagai jurulatih? 
Delia: Saya ingin terus belajar daripada jurulatih senior yang lain dan semestinya ingin membimbing pemain saya menjadi pemain terbaik di dunia. 

Advertisement

Must Watch Video