Skip to main content

Advertisement

Rencana

Cruyff bersara sebaik bantu Oranje layak ke Piala Dunia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

netherlands.jpg
Belanda kini mampu menghela nafas yang panjang.

Kemenangan 5-0 Belanda ke atas Luxembourg, awal pagi tadi, cukup melegakan jurulatihnya, Dick Advocaat.

Kegagalan dalam kelayakan Piala Dunia 2018 adalah perkara terakhir yang mahu dielakkan, cukuplah kesudahan menyedihkan dalam kempen kelayakan Euro 2016.

Terdahulu, nasib Oranje dalam Kumpulan A bagai telur di hujung tanduk gara-gara tewas mengejut kepada Bulgaria 2-0, penghujung Mac lalu.

Ia menerbitkan rasa tidak senang bahawa mereka mungkin mengulangi kegagalan layak dalam kejohanan besar buat sekian kalinya.

Namun, mereka meraih keceriaan berganda pada awal pagi tadi berikutan kekalahan Perancis kepada Sweden, terima kasih kepada tindakan pantas Ola Toivonen yang melambungkan bola dari tengah padang ketika gawang Perancis ditinggalkan Hugo Lloris.

Kini hanya tinggal empat perlawanan, anak buah Advocaat dipisahkan tiga mata dengan peneraju bersama, Sweden dan Perancis, dalam perebutan slot automatik ke Russia 2018.

Skuad Oranje sememangnya terkenal dengan corak permainan 'total football'.

Carlos Alberto mengangkat skuad Belanda dalam edisi Piala Dunia 1974 yang ketika itu diterajui oleh Johan Cruyff dan Johan Neeskens, sebagai berbeza dengan pencabar-pencabar yang ada.

Alberto yang merupakan ketua pasukan Brazil yang merangkul Piala Dunia 1970 berkata, "Satu-satunya pasukan yang saya saksikan lain daripada yang lain adalah Belanda.

"Prestasi mereka yang konsisten dengan corak hantaran menyeluruh sangat seronok dan kagum untuk ditonton."

Dan 40 tahun lalu atau lebih tepat pada Oktober 1977, Cruyff memutuskan untuk bersara di pentas antarabangsa sebaik membantu Belanda menempah tiket ke Argentina.

Tanpa kelibatnya, buat kali kedua berturut-turut Belanda dikecewakan di pentas akhir -- kedua-duanya dikecewakan oleh pasukan tuan rumah, Jerman dan Argentina.

Kononnya keputusan persaraannya didorong oleh faktor politik yang bergolak di negara penganjur.

Namun, selepas 21 tahun, dia membongkar kisah sebenar di sebalik persaraannya.

"Untuk bermain dalam Piala Dunia, anda perlu berada dalam 200 peratus bersedia, pada ketika itu ada sesuatu yang lebih berharga dalam hidup." 

Demikian tuturnya kepada wartawan Catalunya Radio, Antoni Bassas.

Dia merujuk kepada insiden penculikan yang mengancam keluarganya setahun sebelum itu di Barcelona.

Advertisement

Must Watch Video