Skip to main content

Rencana

Christian Eriksen, si hero Denmark

1920-1080eriksen.jpg
Siapa yang tidak gembira jika berpeluang menjadi pencetus kepada kejayaan negara tercinta. Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, tidak kisah di mana sahaja kita mencari rezeki, sikap patriotik dan sayangkan negara pastinya tetap sebati di dalam jiwa. Demikian perasaan yang dialami Christian Eriksen sebaik diberi peluang sekali lagi menyarung jersi kebangsaan Denmark bagi kempen Piala Dunia 2018.

Kesukaran menempatkan diri ke pusingan akhir bukan halangan untuk dia menyerah kalah, malah saingan play off dijadikan platform terbaik untuk membuktikan kemampuannya sebaris pemain handalan dunia yang sinonim dengan negara kelahiran masing-masing seperti Cristiano Ronaldo dan Portugal serta Lionel Messi dan Argentina. Kini, Eriksen boleh berbangga kerana setiap kali kisah Denmark ke Piala Dunia buat kali ke-5 disingkap, namanya pasti disebut seiring. 

Ini kerana Eriksen menokhtahkan cabaran Ireland dengan cukup bergaya menerusi hatrik keduanya di pentas antarabangsa, sesuatu yang belum pernah dilakukannya pada aksi bersama kelab, Ajax mahu pun Tottenham Hotspur setakat ini. Secara keseluruhannya, Eriksen telah menjaringkan 8 gol dalam 8 penampilan terakhirnya bersama Denmark.

Sesuatu yang menarik untuk perhatian pasukan yang bakal diundi bersama Denmark pada aksi kumpulan di Rusia tahun depan adalah kata-kata jurulatih Ireland, Martin O'Neill yang mengakui kesilapan terbesar mereka adalah memberikan Eriksen ruang untuk bergerak.  Memiliki kualiti pemain handalan dunia, Eriksen mampu menjaringkan gol,  menjana peluang dan mengganggu fokus lawan. Persoalan yang perlu dijawab Eriksen pula adalah mampukah dia menggunakan peluang ini untuk memperbaiki rekod terbaik negaranya di suku akhir Piala Dunia setakat ini? Berita baiknya, dia punya kira-kira tujuh bulan untuk dia bukti kredibiliti di Rusia nanti.

Advertisement

Must Watch Video