Skip to main content

Rencana

Chong Wei yang "on point" dan beri "starstruck"

29417chongwei_1.jpg
Aksi Datuk Lee Chong Wei di pentas akhir Siri Super Terbuka Hong Kong umpama solekan "on point" yang dalam kiasan tular masyarakat kini merujuk kepada hasil sentuhan sempurna jurusolek.

Benar, tiada yang sempurna di dunia ini, tetapi mengaku sahaja jika anda adalah salah seorang yang bangun dari duduk ketika Chong Wei mula menghentikan kebangkitan lawannya, Chen Long di pertengahan set kedua dengan melakukan satu lagi kebangkitan.

Kedudukan mata 14-9 yang memihak Chen Long diterbalikkan Chong Wei sebaik berjaya mengikat permainan 15-15, sekaligus mengesahkan kejuaraan keduanya musim ini menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-19.

Mungkin kebiasaan yang disogok Chong Wei sebelum inilah yang menjurus kepada penghakiman awal kita bahawa perlawanan ini akan diheret ke set penentuan, sama seperti kali terakhir Chong Wei tewaskan Chen Long tahun lalu di Kejohanan Asia.

Itu cerita dahulu, tetapi yang terbaru, Chong Wei berjaya menambah koleksi kemenangan kepada 14 berbanding 13 oleh Chen Long yang juga pengganti seteru utamanya dari China, Lin Dan.

Jika boleh saya kongsikan lagi detik menarik pada pertemuan ke-27 Chong Wei dan Chen Long, tentu sekali aksi licik Chong Wei ketika memenangi reli pertamanya dengan Chen Long selepas lebih dari setahun. Riak hampa Chen Long sebaik akur dengan desakan Chong Wei dihadapan jaring menjadi bukti ia antara gerakan terbaik Chong Wei tahun ini. 

Khilaf saya kurang jelas dengan kemasyhuran Chong Wei di Hong Kong. Disebalik itu, Chong Wei juga mencipta momen "starstruck" kerana dari deretan penyokong yang sering menerima tumpuan kamera sepanjang aksi berlangsung, dapatlah kita simpulkan penyokong Chong Wei di Hong Kong juga terdiri daripada selebriti terkenal negara itu.

Advertisement

Must Watch Video