Skip to main content

Rencana

Chelsea hilang nafsu

chelsea_3.jpg
Chelsea terus gagal mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir apabila tunduk 1-0 di tangan pendahulu liga, Manchester City, pada awal pagi Ahad lalu. Persoalannya, wajarkah kekalahan itu diterima The Blues?
 
Aksi di Etihad menunjukkan lemahnya mentaliti serta kemahuan skuad kendalian Antonio Conte walaupun ketika itu mereka dibezakan dua mata daripada kelompok empat terakhir, sekaligus berdepan risiko kehilangan slot ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.
 
Pemerhati bola sepak, Jamie Redknapp, menyifatkan persembahan Chelsea pada awal pagi Ahad lalu itu adalah satu jenayah buat sukan bola sepak dan mereka tewas sebelum turun beraksi akibat sikap sambil lewa serta aksi longlai skuad bimbingan Conte sementara legenda Manchester United, Gary Neville, memberi amaran bahawa pengendali dari Itali itu harus mula memikirkan masa depannya secara serius.
 
Tidak menyalahkan pemain tetapi situasi itu mungkin juga adalah akibat daripada taktikal yang diterapkan. Chelsea mempunyai dua penyerang yang cergas, iaitu Alvaro Morata dan Olivier Giroud, namun pengurus berbangsa Itali itu memilih untuk menggunakan formasi 3-4-3 dengan mempertaruhkan Willian, Eden Hazard dan Pedro di jentera serangan.
 
Meletakkan seorang pemain sayap (Hazard) untuk berfungsi sebagai "pemain no. 9 palsu" mungkin bukan satu tindakan bijak untuk digunakan Chelsea berbekalkan barisan pemain yang dimiliki. Ia juga membuatkan bintang Belgium itu merungut kerana sukar mendapatkan bola.
 
Conte harus melihat kembali senarai dan kebolehan anak buahnya sebelum menetapkan sebarang percaturan baru kerana harus diingat, Jurgen Klopp juga bergelut pada musim lalu untuk cuba meletakkan Roberto Firmino bertindak di posisi itu bagi pasukan Liverpool.
 
"Kami mungkin boleh beraksi selama tiga jam tanpa saya dapat menyentuh bola. Sukar untuk beraksi dengan baik apabila anda hanya memegang bola sebanyak tiga kali," kata Hazard.
 
Rungutan Hazard itu seharusnya dilihat sebagai satu ancaman buat The Blues tatkala dia masih belum menandatangani kontrak baru, membuatkan Real Madrid pasti tidak sabar untuk cuba memancingnya ke Santiago Bernabeu.
 
Pemain-pemain Chelsea juga dilihat tidak "bernafsu" untuk mendapatkan bola. Cesc Fabregas dan Willian tampak tidak berminat dan hanya berdiri tegak sambil melihat David Silva berbalas hantaran bersama pemain-pemain The Citizens yang lain.
 
Kedudukan kelima dalam liga tentunya tidak membuatkan pemilik kelab, Roman Abramovich, gembira dengan situasi pasukannya dan lebih mengundang banyak persoalan adalah sejauh mana keinginan Conte untuk terus mengurus Chelsea.
 
Pesuruhjaya Persatuan Bolasepak Itali, Alessandro Costacurta, minggu lalu secara terbuka mengesahkan bahawa Conte antara calon yang dilihat paling layak untuk membina semula skuad Azzurri susulan kegagalan mereka melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2018.
 
Perkara yang sangat logik untuk dikira setakat ini adalah Conte bakal dipecat dalam masa beberapa bulan lagi tetapi persoalannya, adakah itu tindakan yang tepat?
 
Tidak mustahil skrip yang dilalui Jose Mourinho -- dilucutkan jawatan selepas semusim membawa Chelsea menjuarai liga -- bakal berulang dan diharungi oleh seteru utamanya sendiri, Conte.
 
 Bagaimanapun, Abramovich sendiri juga perlu mengkaji setiap struktur agar pemecatan bukan menjadi satu mainannya di Stamford Bridge.

Advertisement

Must Watch Video