Olimpik Rio 2016 adalah Olimpik yang tidak kurang mencipta keputusan-keputusan di luar jangkaan.
Antaranya Joseph Schooling dari Singapura menewaskan legenda renang dunia, Michael Phelps, dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu. Elaine Thompson menewaskan pemenang dua kali pingat emas 100 meter di Beijing dan London, Shelly Ann-Fraser-Pryce serta memenangi emas dalam 200 meter dan kejayaan Brazil merangkul emas buat pertama kali dalam bola sepak lelaki.
Sukan hoki tidak ketinggalan mencipta keputusan di luar dugaan di mana dua pasukan yang tidak diberikan harapan ke final, iaitu Argentina dan Belgium.
Tiada Australia, Jerman atau pun Belanda yang ramai menjangkakan akan memenangi emas berdasarkan ranking dunia mereka dan juga reputasi serta prestasi semasa mereka sebelum Olimpik bermula.
Australia kalah dalam suku akhir manakala Belanda dan Jerman tewas di peringkat separuh akhir.
Lanskap hoki terus bertukar selepas Argentina muncul sebagai pemenang pingat emas menewaskan Belgium 4-2 di pentas final.
Argentina kini berada di ranking kedua dunia di belakang Australia yang masih mengekalkan ranking No. 1.
Jurulatih Argentina, Carlos Retegui, adalah orang yang merencanakan emas pertama buat hoki Argentina di Olimpik.
Walaupun namanya tidak segah Ric Charlesworth, Terry Walsh, Paul Lissek dan lain-lain, siapa sangka selepas membawa Argentina ke separuh akhir Piala Dunia 2014, dalam masa dua tahun ia boleh bertukar kepada emas Olimpik.
Saya pernah bermain menentang beliau yang merupakan penyerang Argentina di Sukan Olimpik Atlanta 1996 di mana Malaysia menewaskan Argentina.
Beliau juga mewakili Argentina di Olimpik 2000 dan 2004.
Dalam kerjaya jurulatih pula, beliau membawa pasukan wanita Argentina menjuarai Piala Dunia Wanita 2010 serta Piala Juara-Juara pada 2009, 2010 dan 2012 di samping memenangi pingat perak di temasya London 2012.
Selepas Olimpik 2012, beliau membuat keputusan untuk bersama pasukan lelaki Argentina. Apapun, pada hujung tahun 2013, jurulatih wanita meletak jawatan, membuatkan beliau diarahkan menjadi jurulatih skuad lelaki dan wanita sehingga Piala Dunia 2014.
Setahu saya, beliaulah jurulatih pertama di dunia yang menjadi ketua jurulatih bagi lelaki dan wanita menghadapi dan mengharungi Piala Dunia lelaki dan wanita yang diadakan serentak pada tahun 2014 di The Hague, Belanda.
Di situlah, saya melihat beliau sebagai jurulatih yang bukan sembarangan. Untuk menjadi jurulatih satu pasukan pun, susah dan tanggungjawab yang berat, inikan pula dua pasukan dalam Piala Dunia yang berjalan serentak.
Pasukan wanita dan lelaki Argentina, di bawah bimbingannya sekali gus, berjaya mendapat tempat ketiga!
Ia sekali gus mencipta sejarah buat hoki Argentina apabila pasukan lelaki berjaya mendapat tempat ketiga dalam Piala Dunia 2014 -- pencapaian terbaik mereka dalam sejarah.
Selepas Piala Dunia 2014, beliau hanya ingin menumpukan kepada pasukan lelaki sahaja dan sekali lagi, Retegui mengejutkan hoki dunia apabila memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio.
Dalam separuh akhir, mereka membenam pemenang pingat emas di London 2012, Jerman, 5-2, seterusnya menewaskan Belgium 4-2 di pentas final.
Kejayaan ini bukan sekadar "nasib" semata-mata tetapi kerja keras Retegui memastikan anak-anak buahnya terus laparkan kejayaan selepas meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia 2014 -- tidak hanya berpuas hati selepas kejayaan itu.
Itulah 'Chapa', nama panggilan beliau di Argentina. Walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris, kejayaan beliau dan skuad Argentina sudah cukup membuka mata peminat hoki dunia.
Itu serba-sedikit kisah dongeng kebangkitan dan kejayaan hoki Argentina itu yang boleh saya ungkapkan tetapi nama Carlos Retegui kini sebaris dengan legenda jurulatih dunia yang lain.
Buat Carlos Retegui dan hoki lelaki Argentina, dunia 'angkat tabik' kepada anda semua!
Rencana