Skip to main content

Rencana

Can't smile without you, Malaysia

bola-msia-1980.jpg
Memetik ucapan ringkas kelab penyokong Tottenham Hotspur Malaysia sempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September 2019, kemakmuran yang dikecapi pelbagai kaum di negara ini telah memberikan kita ruang untuk mencambah minat terhadap sukan.



Tanpa kita sedar, bola sepak, sukan popular yang telah bertapak didalam hati masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

Penjajahan Inggeris di rantau ini sedikit-sebanyak memberi pengaruh terhadap permulaan perkembangan bola sepak, termasuk dimainkan di sekolah-sekolah.

Peraturannya yang memerlukan penglibatan sekurang-kurangnya 22 orang bagi setiap perlawanan menjadikan bola sepak cepat popular dan mendapat sokongan kerajaan kerana dirasakan berkesan memupuk semangat kerjasama dan menanam kepercayaan, yang amat diperlukan pada awal penubuhan negara.

Padang luas dijadikan gelanggang awam, lokasi berkumpulnya Ali yang tinggal di kampung, Muthu dari ladang getah dan Ah Hock, anak tauke kedai basikal pada setiap petang - pada awalnya hanya kerana minat mendalam terhadap bola sepak, yang kemudiannya bertukar kepada persahabatan sehingga dewasa.

Situasi ini berlaku banyak kali - beratus atau beribu ulangan dengan pendukung nama dan lokasi yang berbeza, sehinggalah sejarah akhirnya tercipta dengan kemaraan skuad bola sepak kebangsaan ke Sukan Olimpik 1980.

Selepas beberapa dekad berlalu, walaupun Malaysia masih belum berjaya menandingi rekod yang dipegang skuad magis itu, sokongan dan harapan terus hidup dalam jiwa dan sanubari rakyat Malaysia yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Generasi masa kini lebih beruntung, mempunyai akses lebih dekat dengan sukan melalui penubuhan Astro Arena, saluran sukan pertama di Malaysia pada 2010 - disamping tambahan saluran sukan lain milik Astro untuk perkembangan menyeluruh sukan antarabangsa yang lebih cepat, berbanding menanti laporan di surat khabar pada keesokan hari kerana perbezaan masa.

Jadi, tidak kira jika anda hanya menyokong pasukan bola sepak tempatan, mahupun turut sama menjadi sebahagian penyokong Tottenham Hotspur, salah seorang ahli tegar kelab Manchester United atau Liverpool yang sering bertelagah di antara satu sama lain di media sosial, ingatlah kembali tujuan murni sukan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

Selamat Hari Malaysia!

Advertisement

Must Watch Video