Skip to main content

Rencana

Buat pilihan dengan bijak, dik

kejohanan-b-18-2019.jpg
Prestasi mengagumkan skuad bawah 18 tahun negara ketika Kejohanan AFF Bawah 18 tahun di Vietnam baru-baru ini mula mendapat perhatian beberapa kelab Liga Super yang mahukan khidmat mereka.

Sebelum ini, Nadi Arena turut melaporkan dua tonggak skuad bawah 19 tahun negara iaitu pemain bek sayap,Umar Hakeem Suhar Redzuan, dan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel, antara pemain yang mendapat tawaran Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor.

Kedua-dua pemain yang berusia 17 tahun itu masih belum membuat keputusan dengan tawaran yang diterima kerana mahu berbincang dengan ibu bapa serta jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

Bagi penulis, secara peribadi mungkin mereka perlu mengutamakan dulu jika mendapat tawaran daripada kelab luar negara sebelum mempertimbangkan tawaran pasukan tempatan dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini, terdapat perkhabaran daripada media arus perdana mengenai tujuh pemain bawah 19 tahun negara bakal di hantar ke Jepun untuk menjalani ujian pemilihan serta latihan bersama kelab di negara itu.

Jadi, pada pengamatan penulis, mungkin pada masa ini mereka perlu fokus dalam persiapan menjalani ujian pemilihan di Jepun serta persiapan bersama barisan muda negara menghadapi saingan kelayakan AFC Bawah 19 tahun di Kemboja November ini.

Tidak perlu ada gesaan untuk Sikh Izhan, Umar dan mana-mana pemain bawah 18 tahun negara membuat keputusan mengenai hala tuju karier mereka selepas tugasan bersama skuad bawah 19 tahun negara.

Tidak dinafikan JDT adalah pasukan terbaik negara selain daripada prasarana dan kemudahan lengkap yang dimiliki juara enam kali Liga Super itu, selain juga peluang beraksi di pentas Liga Juara-Juara (AFC).

JDT juga tampak mempunyai hubungan baik dengan kelab-kelab luar negara dan pernah meminjamkan pemain mereka seperti Syamer Kutty Abba ke sebuah kelab Divisyen Tiga Portugal dan kini turut meminjamkan Dominic Tan kepada kelab Thailand, Police Terro, bagi membantu peningkatan pemain itu.

Namun, kita tidak boleh nafikan tahap bola sepak Jepun jelas berada di aras yang lebih tinggi berbanding bola sepak negara dan kerana itu, penulis mahu melihat pemain-pemain muda kita berusaha terlebih dulu mendapatkan tempat di negara Matahari Terbit itu.

Seadainya gagal mendapat tempat di Jepun, mungkin barulah pemain-pemain muda negara ini boleh menimbang kemungkinan menerima tawaran JDT ataupun Selangor yang kini turut melakukan perubahan dalam struktur pentadbiran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ke arah lebih profesional.

Sama ada JDT, FAS atau pun pasukan kelab serta negeri lain yang mendapatkan khidmat pemain dari AMD atau skuad bawah 19 tahun negara selepas ini, diharapkan mereka akan dibentuk sebaik mungkin menjadi pemain utama dalam skuad senior di Liga Super.

Ia adalah kerana usia sebegini sehingga 21 tahun adalah waktu penting buat mana-mana pemain muda meraih pendedahan serta aksi saingan kompetitif mencukupi bagi mencapai potensi yang dipamerkan mereka ketika usia yang lebih muda.
 

Advertisement

Must Watch Video