Skip to main content

Rencana

"Berakhirnya era CP130"

kasmadanial.jpg
Perlumbaan motosikal Cub Prix musim 2016 melabuhkan tirainya dengan buat kali terakhir saingan CP130 dipertandingkan dan ia dimenangi oleh pelumba Petronas Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin.

Lebih menarik, Kasma merupakan juara termuda kategori berkenaan pada usia 16 tahun 1 bulan.

Anak kelahiran Johor itu mengatasi rekod 16 tahun 6 bulan yang dipegang Hafizh Syahrin semasa menjuarai kategori berkenaan pada 2010.

Tidak dinafikan pentas perlumbaan Cub Prix telah melahirkan ramai pelumba-pelumba berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Sudah pasti ramai yang sudah biasa dengan nama-nama seperti Wazi Abdul Hamid, Shahrol Yuzy, Azlan Shah Kamaruzzaman, Zulfahmi Khairuddin dan juga Zaqhwan Zaidi.

Malah pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi turut dicungkil bakatnya dalam saingan Cub Prix.

Selepas 23 edisi dipertandingkan, perlu ada penambahbaikan dalam memastikan kualiti pelumba-pelumba ini dapat terus ditingkatkan.

Turut tidak ketinggalan, kelainan akan ditampilkan bermula musim 2017 apabila kategori baharu iaitu CP150 akan diperkenalkan sebagai kelas perdana.

CP150 menggunakan sistem EFI iaitu menggunakan suntikan bahan api elektronik dan bukan lagi karburator yang sebati dengan saingan CP130 sebelum ini.

Demonstrasi jentera CP150 ini telah pun dilakukan semasa pusingan ke-10 dan terakhir musim ini di Taiping, November lalu dan ia mendapat maklumbalas yang cukup baik daripada pelumba dan juga pasukan yang ambil bahagian.

Sekaligus menjanjikan satu saingan yang sukar diduga untuk musim 2017 dan pelumba yang mampu sesuaikan diri dengan jentera itu secepat mungkin pastinya punyai kelebihan.

Sebelum berpisah, penulis ingin ucapkan sekalung tahniah kepada Kasma atas kejayaan yang cukup cemerlang menjuarai kategori CP130 musim ini dan juga kepada Zaqhwan kerana mengharumkan nama Malaysia di saingan Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) apabila muncul juara buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Advertisement

Must Watch Video