Skip to main content

Rencana

Bayangkan Portugal tanpa Ronaldo…

cr7.jpg
Portugal dilihat begitu bertuah kerana masih memiliki khidmat pemain hebat seperti Cristiano Ronaldo. Pemain yang kini beraksi bersama Juventus itu sudah pun berusia 34 tahun tetapi masih mampu memberikan impak besar dalam perlawanan Kelayakan Euro 2020.

Terbaru, dia meledakkan empat gol berdepan Lithuania yang juga merupakan jaringan ke-93 buat dirinya di peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung, ia mengangkat penggempur itu sebagai raja bola sepak antarabangsa kerana itu adalah satu jumlah jaringan yang sukar ditandingi oleh mana-mana pemain. 

Ronaldo juga telah merekodkan 54 hatrik sepanjang kariernya dan pencapaian itu adalah sesuatu yang menjadikan dirinya lebih istimewa berbanding bintang Portugal dalam era lain seperti Luis Figo dan Eusebio.

Ada gosip dari media antarabangsa mengatakan, kajian dilakukan terhadap tubuh badan Ronaldo dan biarpun sudah berusia 34 tahun tetapi otot di dalam badannya seperti berusia 23 tahun. Adakah itu bermakna Ronaldo akan kekal relevan beraksi sekurang-kurangnya sehingga umur 40 tahun? Pasukan kebangsaan Portugal sudah tentu akan tampil berbeza tanpa khidmat Ronaldo di atas padang. 

Lihat sahaja sewaktu  berdepan Lithuania, pengendali Portugal, Fernando Santos, menurunkan barisan pemain terbaiknya. Pemain seperti Jose Fonte, Joao Cancelo, William Carvalho, Bernardo Silva dan Joao Felix kekal berada dalam kesebelasan utama, namun kebergantungan mereka terhadap Cristiano Ronaldo memang tidak dapat disangkal.

Situasi sama berlaku di Juventus. Biarpun mempunyai barisan pemain muda seperti Paolo Dybala dan Douglas Costa, mereka masih tidak boleh menidakkan kebergantungan terhadap khidmat kapten skuad Portugal itu. 

Portugal kini menghuni tangga kedua kumpulan B dengan lapan mata, lima mata di belakang Ukraine dan mereka akan berdepan Luxembourg dan Ukraine pada Oktober nanti untuk Kelayakan Euro 2020 dimana sudah tentu mereka akan menagih khidmat Ronaldo.

Advertisement

Must Watch Video