Skip to main content

Rencana

Barca sampai mati

261117messi.jpg
Selepas berbulan-bulan spekulasi mengenai masa depannya, Lionel Messi menandatangani kontrak bersama Barcelona dan memberikan komitmen penuh bersama gergasi Catalan itu hingga 2020-21 pada usia 34 tahun. Kontrak asalnya bakal berakhir pada penghujung musim ini dan kelab telah berusaha selama empat bulan untuk memastikan bintang Argentina itu bersetuju kekal di Nou Camp.
 

Keputusan Messi kekal bersama Barca menyaksikan dirinya mengikut jejak langkah legenda seperti Ryan Giggs (Manchester United), Paolo Maldini (AC Milan), Francesco Totti (Roma) dan Carles Puyol untuk kekal bersama satu kelab hingga bersara.
 
Manchester City dan Pep Guardiola dilaporkan sudah mula memanggil nama Messi untuk dibawa ke Stadium Etihad tetapi legenda Argentina itu menamatkan spekulasi selepas menandatangani kontrak baru semalam, dengan tawaran termasuk klausa perpindahan yang bernilai EUR700 juta (RM3.4 bilion).
 


Keputusan ini menyaksikan Messi tidak akan dapat membuktikan kebolehannya untuk menyesuaikan diri beraksi dalam saingan domestik yang berbeza -- seperti yang dilakukan oleh beberapa bintang seperti Zlatan Ibrahimovic mahupun seterunya, Cristiano Ronaldo, yang mencipta nama di beberapa kelab yang lain.
 
Lapan takhta LaLiga, empat gelaran Liga Juara-Juara dan Lima Ballon d'Or sudah cukup mewarnai karier Messi, tetapi kekal bersama Barcelona -- ternyata akan menambah bilangan kejayaan Messi dalam beberapa musim ini.
 
Selepas membuat 600 penampilan bersama Barca, Messi telah menjaringkan 523 gol, 54 daripadanya hadir pada musim 2016-17 dan Messi dilihat masih tidak kehilangan sentuhan selepas menjaringkan 16 gol buat musim ini.
 


Pemain-pemain akan kembali berminat menyertai Barcelona kerana berpeluang untuk beraksi bersama Messi. Jika kelab melepaskan khidmatnya, Barcelona akan kehilangan tarikan.
 
Tetapi Messi akan kekal hingga 2021, ia merupakan petanda Barca tidak akan ketinggalan dalam jendela perpindahan selepas ini. Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu, melabel Messi sebagai "pemain terbaik dalam sejarah bola sepak" dan ia memberikan peluang untuk kelabnya terus bersaing dengan kelab-kelab gergasi Eropah.
 
Sementara itu, kelab juga telah membuat perancangan jangka masa panjang dengan usaha untuk menawarkan kontrak seumur hidup kepada Messi, sama seperti yang diberikan kepada Andres Iniesta.
 
Barca sampai mati buat Messi.

Advertisement

Must Watch Video