Skip to main content

Rencana

Bapa borek, anak rintik

khaironisam-aisy.jpg
Ungkapan tajuk artikel penulis kali ini adalah berkisar mengenai dua orang bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir dan juga Kaironisam Shahabuddin, yang mempunyai anak yang mengikut jejak mereka sebagai pemain bola sepak.

Hasnizam yang juga rakan pengulas serta rakan setugas penulis di Astro Arena, adalah bapa kepada Muhammad Aisy Al Hakim Hasnizam, pemain yang mencuri tumpuan ketika bersama skuad bawah 12 tahun negara dalam saingan Piala Soong Ching Ling, China baru-baru ini.

Sementara itu, Kaironisam, bekas kapten dan tonggak pertahanan negara adalah bapa kepada Firdaus Kaironisam yang ketika ini menjadi tonggak tengah skuad Bawah 19 tahun negara dalam Kejohanan AFF Bawah 18 tahun yang sedang berlangsung di Ho Chi Minh.

Sebenarnya bukan sahaja bola sepak, tetapi apa sukan sekali pun yang diceburi seseorang atlet muda memerlukan dorongan kuat daripada keluarga dan kejayaan keluarga Sidek dalam sukan badminton sebelum ini menjadi contoh terbaik.

Dalam kisah Aisy dan Firdaus, penulis kagum dengan potensi yang dimiliki mereka berdua yang tampak berada di landasan tepat menjadi pemain bola sepak profesional seperti bapa mereka.

Sebagai pemain, kedua-dua Hasnizam dan Kaironisam adalah pemain yang baik, namun mereka tidak meraih sebarang kejuaraan bersama skuad negara.

Tetapi pengalaman dua bekas pemain itu tampak membolehkan mereka menurunkan ilmu kepada anak mereka untuk menjadi pemain yang lebih baik berbanding mereka ketika mengerah kudrat bersama skuad negara pada masa depan.

Bagi Hasnizam, bimbingan awal untuk seseorang pemain itu harus bermula dari rumah bagi membolehkan mereka bijak menguruskan diri dan juga befikir ketika beraksi dalam padang.

Selain menumpukan perhatian dalam pembentukan kemahiran dan teknikal di atas padang, Hasnizam turut memberi tumpuan kepada pencapaian akademik Aisy.

"Sebagai bapa, kita kena bagi yang terbaik buat anak-anak semoga mereka sentiasa berpijak di bumi yang nyata".

"Paling penting adalah mengubah persepsi masyarakat Malaysia yang sering mengaitkan pemain bola dengan masalah disiplin dan tidak pandai dalam pelajaran,"kata Hasnizam ketika ditemui baru-baru ini.

Penulis percaya, Firdaus juga pasti mendapat didikan serta tunjuk ajar dengan Kedah yang hampir sama daripada Kaironisam.

Meskipun kedua-dua Aisy dan Firdaus masih muda, mereka sudah mempamerkan potensi awal dan penulis optimis, kedua-dua bapa mereka juga mahu melihat anak mereka menjadi pemain yang lebih berjaya di peringkat tertinggi berbanding mereka dulu.
 

Advertisement

Must Watch Video