Skip to main content

Rencana

Bale: Adakah apa-apa yang berbeza?

bale-pix-a.jpg
“Kamu nak kekal di sini? Atau kamu mahu balik ke Real Madrid dan langsung tak dapat bermain?”

Begitulah amaran pengurus Tottenham, Jose Mourinho, kepada pemain sayap yang dipinjam dari Real Madrid, Gareth Bale, sewaktu sesi latihan baru-baru ini.

Bale, yang dahulunya merupakan wira buat Spurs kembali ke pangkuan pasukan pada musim panas tahun lalu, tetapi dia gagal memberikan sebarang impak besar dan hanya mampu menjaringkan satu gol dalam empat kemunculan setakat ini.

Dalam penampilan sulung kemunculan semulanya, Bale masuk ke padang sebagai pemain gantian sewaktu Spurs sedang mendahului 3-0, namun pada hujung perlawanan, keputusannya berkesudahan 3-3.

Sewaktu dia dipinggirkan daripada kesebelasan utama Real Madrid, Bale menjadi terkenal gara-gara perangainya yang tidak profesional di luar padang.

Menurut akhbar The Sun, Bale pernah dilihat mengibarkan sepanduk yang tertulis ‘Wales, Golf, Madrid’ yang melambangkan bahawa dia meletakkan negaranya sebagai keutamaan, diikuti oleh sukan kegemarannya dan kelabnya merupakan perkara yang paling tidak penting.

Bekas pemain paling mahal dunia itu turut menimbulkan rasa jengkel pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, sewaktu dia memanaskan bangku simpanan.

Bale berperangai seakan-akan budak kecil dengan melunjurkan kakinya di bangku sambil berpura-pura menonton perlawanan melalui teropong tangan, dan bermacam-macam lagi.






Dia juga pernah dilihat mencuba melakukan ‘bottle-flip challenge’ di tengah-tengah perlawanan rasmi akibat kebosanan tidak dapat bermain.

Sekarang, tingkah-laku Bale nampaknya sudah menguji kesabaran Mourinho pula.

Pada awal minggu ini, Mourinho mendedahkan yang Tottenham langsung tidak pernah berbincang tentang melanjutkan pinjaman Bale walau satu detik pun.

Tambahan lagi, Mourinho sebenarnya dikatakan tidak berminat untuk mendapatkan khidmat Bale sejak awal lagi kerana pasukannya sudah ada ramai pemain sayap yang beraksi cemerlang.

Ada juga yang beranggapan bahawa pujian melambung Mourinho terhadap pemain tengahnya, Tanguy Ndombele, yang menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Sheffield United baru-baru ini merupakan amaran berkias terhadap Bale.






Mourinho dipetik sebagai berkata, “Bila pemain saya tidak dipilih untuk bermain, mereka harus sedar yang itu merupakan kesilapan daripada pihak mereka sendiri.

“Biarpun tidak dipilih, mereka harus sentiasa bersedia untuk memajukan diri dan memberikan persembahan terbaik apabila peluang mereka akhirnya tiba.

“Ndombele sangat faham akan perkara ini dan persembahannya begitu menakjubkan.”

Di sebalik segala amaran keras ini, masa depan Bale bersama Spurs nampaknya belum pudar sepenuhnya kerana dalam temu bual yang sama, Mourinho turut memberikan kata-kata semangat dan menunjukkan yang dia mampu berlaku adil.

“Bale tiba ke pasukan kami dalam keadaan tercedera dan dia masih belum pulih selepas sebulan berlalu.

“Langkah demi langkah, perlawanan dalam Liga Europa membantu untuk memulihkan semula kecergasannya.

“Dia perlahan-lahan meningkatkan prestasinya, ia bukan sesuatu yang mudah, semua orang tahu dia mengharungi dua musim yang cukup sukar bersama Real Madrid. 

“Langkah demi langkah, saya akan cuba untuk menonjolkan persembahan terbaik daripadanya.”

Pada usia 31 tahun ketika ini, Bale menerima gaji sekitar £600,000 (RM3.3 juta) seminggu dan dia nampaknya cukup selesa, malah kelihatan langsung tidak kisah sama ada diturunkan bermain atau tidak.

Sayang sekali jika pemain berbakat sepertinya hanyut begitu sahaja akibat kemelut yang berpunca daripada dirinya sendiri.
 

Advertisement

Must Watch Video