Skip to main content

Rencana

Apabila seorang Juara Eropah ucap selamat tinggal

rajiv-ouspeh_1.jpg
Arena St. Jakobshalle, Isnin, Jam 2 petang waktu Switzerland.

Tumpuan penyokong terpaku kepada aksi gelanggang utama Kejohanan Dunia Basel 2019 membabitkan pemain yang begitu disegani di Eropah.

Rajiv Ouseph, kelahiran Hounslow, London, England muncul juara benua itu pada edisi Kolding 2017 di Denmark, menewaskan bintang meningkat naik negara itu, Anders Antonsen.

12 tahun sebelumnya, dia mengumumkan kehadiran kepada arena perseorangan lelaki dunia saat muncul Juara Remaja Eropah di Den Bosch, Belanda.

Di pentas antarabangsa, Ouseph punya peranan tersendiri dalam era bintang berstatus legenda seperti Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei bermaharajalela.

Tetapi apa yang lebih mendekatkan Ouseph dengan penyokong setia badminton dunia adalah perwatakannya di luar gelanggang.

Serta aspirasi untuk menyuntik nafas baru kepada sukan badminton yang makin tenggelam di England disebalik dominasi komersial bola sepak mereka.

Meskipun hanya berusia 32 tahun, Ouseph ambil keputusan untuk bersara kerana tidak lagi sanggup berjauhan dengan anak lelakinya yang baru menjengah usia setahun.

Tiada faktor lebih murni pada pandangan saya untuk menutup buku sebagai Juara England sembilan kali dan memberikan ruang buat individu lain meneruskan legasi dia.

Jadi bagaimana seorang Juara Eropah mengucapkan selamat tinggal kepada badminton dunia?

Beraksi sehingga titisan keringat terakhir menentang Jonathan Christie, pemain muda Indonesia yang dicanang dunia dan Ouseph sebagai jagoan generasi baru.

Sekalipun tewas di tangan Jonathan, Ouseph keluar melangkah dari gelanggang Arena St. Jakobshalle sebagai juara.

Advertisement

Must Watch Video