Skip to main content

Rencana

Anak buah Nafuzi beri amaran awal?

terengganu.jpg
Di sebalik sambutan suram peminat bola sepak tanahair terhadap kempen Piala Malaysia 2019, persaingan di atas padang membabitkan 16 pasukan tetap rancak berlangsung berdasarkan dua perlawanan setakat ini.

Ia menyaksikan pasukan seperti Johor Darul Takzim, Pahang dan Terengganu cemerlang merekodkan dua kemenangan berturut-turut tatkala Negeri Sembilan, UiTM FC dan Sabah gagal mengutip sebarang mata.

Finalis Piala FA 2019, Perak dan Kedah pula menunjukkan sedikit penurunan prestasi susulan kekalahan dalam perlawanan terakhir, manakala pasukan seperti PKNS FC, PJ City dan PDRM cuba menghadirkan saingan hebat dalam kumpulan masing-masing.

Itu antara rumusan ringkas mengenai aksi awal kejohanan selain juara 33 kali, Selangor turut menyerlah menerusi aksi tanpa kalah setelah mencatat satu keputusan seri dan satu kemenangan dalam kumpulan D.

Begitupun, dalam banyak perkara, prestasi pasukan Terengganu paling mencuri tumpuan saya. Apa tidaknya, mereka bukan sahaja berjaya meraih keputusan membanggakan, malah menunjukkan corak permainan menghiburkan.

Jelas, ia dapat disaksikan ketika anak buah Nafuzi Zain tampil menyentap ego juara Piala FA musim ini, Kedah menerusi kemenangan 2-0 biarupun beraksi tanpa seorang pemain ekoran layangan kad merah.

Penyerang skuad Penyu, Tchetche Kipre muncul wira dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada Khamis selepas mencetak dua gol pada babak kedua dengan salah satu gol dicetuskan Lee Tuck.

Ternyata, pasukan yang turut diberi gelaran Peteh Ganu Peteh itu berada dalam kelas tersendiri di bawah Nafuzi selaku pengendali muda dalam kancah Liga Malaysia ketika ini selain Nidzam Jamil dari Felda United.

Saya secara peribadi melihat banyak perubahan positif yang dibawa oleh bekas pemain kebangsaan itu menerusi falsafah bola sepak yang diterapkan sejak mengambil alih tugas jurulatih daripada Irfan Bakti.

Bukan menidakkan keupayaan Irfan, namun sentuhan Nafuzi tampak mempunyai aura tersendiri dalam memacu skuad Terengganu mencapai kejayaan musim ini. Sebenarnya bukan mudah seseorang jurulatih muda untuk membawa pasukan gah seperti Terengganu.

Apa pun, masih terlalu awal untuk mengatakan pasukan berkenaan sebagai pilihan untuk muncul juara tetapi apa yang ditunjukkan mereka berdasarkan keputusan dua perlawanan itu bagaikan satu amaran.

Ini merupakan kempen Piala Malaysia pertama Nafuzi selaku ketua jurulatih dalam kariernya, sudah pasti beliau mengidamkan kejayaan manis sebagai hadiah kepada penyokong. Selamat maju jaya buat coach Nafuzi dan pasukan.

Advertisement

Must Watch Video