Skip to main content

Rencana

Ambil iktibar daripada Liga Nasional

lbr-arena.jpg

RAMAI sebenarnya terkejut dengan prestasi Kuching yang menewaskan Padang Besar 3-1 pada final Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) peringkat kebangsaan di Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Ramai juga yang terkejut final untuk sebuah divisyen amatur yang harus dianggap berada di tangga kelima dalam struktur bola sepak tempatan mendapat tempat di waktu puncak di Astro Arena, sedangkan perlawanan Liga Perdana, Liga FAM dan Liga IPT tidak disiarkan secebis pun.

Itulah kelebihan apabila LBR diuruskan oleh entiti bebas.

LBR Sdn Bhd yang diberi mandat selama 10 tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan pertandingan antara daerah atau kawasan parlimen, diberi hak autonomi merencana masa depan kejohanan itu.

Sebagai badan bebas yang menerima sokongan kewangan sektor swasta, pengurusan LBR yang diketuai oleh pengerusi, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, diberi hak menentukan hala tuju LBR, sekalipun menjawab kepada lembaga pengurusan yang dianggotai wakil FAM.

Bermula pada Oktober tahun lalu selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri hasil cetusan idea Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, LBR menganjurkan lebih 500 perlawanan, termasuk final.

Sebanyak 110 pasukan bersaing dan dibahagikan mengikut zon. Akhirnya 16 pasukan mara ke peringkat kebangsaan dibahagikan kepada empat kumpulan. Perlawanan diadakan secara timbal balik.

Menjelang final, LBR turut mengadakan Kem Bakat yang menggabungkan pemain, jurulatih dan pengadil untuk didedahkan kepada teori dan amali bola sepak hari ini. 

Dengan kerjasama FAM dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, pemain dan jurulatih amatur, makan dan tidur bola serta diberi corak latihan profesional selama lima hari.

Bekas jurulatih kebangsaan B. Sathianathan dibantu bekas bek tengah Selangor, Nizam Jamil, mengendalikan sesi latihan manakala jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, memberi ceramah mengenai peranannya. Turut berkongsi ilmu ialah Datuk Richard Scully yang juga jurulatih skuad Bawah 14 tahun kebangsaan.

Selain mengenal pasti 10 pemain yang ada standard bermain di Liga M, sama ada Liga Super atau Liga Perdana, Sathianathan berharap LBR menjadi medan untuk jurulatih peringkat negeri mencungkil bakat terpendam atau yang terpinggir.

Bagi pengurusan LBR pula, mereka harus bertindak profesional dan memikirkan kelestarian saingan.

Sekalipun mengurus bola sepak bertaraf amatur, tindak-tanduk LBR harus profesional. Ambil iktibar daripada penganjuran Liga Nasional yang hanya bertahan semusim pada 1992 sebelum diambil alih oleh FAM dan seterusnya berkubur pada 1993.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video