Skip to main content

Rencana

Alam pun cemburui Liverpool

cover-pix.jpg
Seakan-akan bertepatan dengan kembalinya Liverpool ke mercu yang pernah dihuni ketika era kegemilangannya, suasana sekeliling menghadirkan ancaman untuk mereka tergelincir daripada landasan sepatutnya.

Keharmonian dalam pasukan yang disimpulkan pengurus, Jurgen Klopp, sebagai kunci kecemerlangan mereka, kini mahu diragut faktor-faktor luaran untuk The Reds tidak hanya bimbangkan persaingan sengit dengan Manchester City.

Terbaru, juara Eropah itu dikatakan terganggu oleh desas-desus Klopp mungkin terdorong untuk meninggalkan pasukan bagi mengetuai barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan negara asalnya, Jerman.

Tidak cukup dengan itu, Liverpool berdepan kemungkinan dibatalkan penyertaan dalam kempen Piala EFL gara-gara menurunkan seorang pemain muda yang tidak didaftarkan ketika menundukkan MK Dons dalam pusingan ketiga Rabu lalu.



Dan semua itu harus berlaku menjelang perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Red Bull Salzburg di Anfield awal pagi Khamis ini.

Mungkin ada yang mengandaikan gangguan terbaru berkenaan sebagai satu teori konspirasi tapi sebahagiannya didorong oleh kelalaian pihak pengurusan pasukan itu sendiri.

Namun, ia kekal sebagai ancaman yang nyata berbanding sesuatu yang mungkin diada-adakan.

Akhbar British, The Mirror, mendedahkan Liverpool tidak boleh menafikan kebimbangan untuk kehilangan Klopp sebagai calon pengganti Joachim Low seandainya pengurus skuad Die Mannschaft itu terlerai ikatan dengan Deutscher Fussball Bund (DFB) atau Persatuan Bolasepak Jerman.

Sebagai menguatkan kepercayaan itu, Klopp, yang berbaki tiga tahun kontraknya di Anfield sehingga 2022, masih belum memberi komitmen untuk sebarang lanjutan kontrak selepas mengemudi pasukan memenangi Liga Juara-Juara dalam final di Madrid, 2 Jun lalu.

Dengan pengurus berusia 52 tahun itu baru meraih anugerah Jurulatih Terbaik Tahunan FIFA dalam majlis anugerah The Best awal minggu lalu, tidak hairanlah jika dia menjadi buruan sambil dia sendiri tidak menyembunyikan hasratnya untuk mengetuai skuad kebangsaannya suatu hari nanti.

Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group, khabarnya mahu segera mengikat Klopp untuk tempoh lebih lama lagi, tambahan selepas The Reds ditabalkan selaku raja di Eropah buat kali keenam tapi pengurus itu nampaknya enggan terburu-buru kerana kontraknya masih panjang.

Pada waktu yang sama, Liga Bolasepak Inggeris (EFL) sedang menjalankan siasatan terhadap kemungkinan The Reds telah menurunkan seorang pemain yang tidak layak beraksi ketika menang 2-0 ke atas MK Dons, Rabu lalu, untuk menempah pertemuan berikut dengan Arsenal di Emirates.



Menurut laporan ESPN, antara hukuman yang boleh dikenakan ialah sejumlah denda atau pasukan itu disingkirkan daripada kejohanan berkenaan.

Klopp menampilkan empat pemain belasan tahun dalam perlawanan pusingan ketiga itu dan salah seorang – namanya tidak didedahkan – mungkin menyalahi peraturan.

Sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris dengan tujuh kemenangan berturut-turut ketika ini, bak satu bait lagu Ebiet G Ade, alam pun mencemburui Liverpool.

Advertisement

Must Watch Video