Skip to main content

Rencana

Ainaa kecil-kecil cili padi

ainaa.jpg
Malaysia tewas bermaruah untuk muncul naib juara acara berpasukan wanita kepada juara bertahan, Mesir, dalam Kejohanan Skuasy Remaja Berpasukan Dunia 2019 semalam. 

Ini kali kedua berturut-turut Malaysia tewas kepada lawan sama itu dalam final dan ternyata Mesir sungguh hebat mencatat kejuaraan ke-9 mereka. 

Positifnya, kalah atau menang, Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil sentiasa bergema dengan sokongan penyokong tuan rumah kepada pasukan remaja wanita negara yang dibarisi Aifa Azman, Chan Yiwen, Ooi Kah Yan dan Noor Ainaa Amani Ampandi.

Ainaa, pemain kecil molek berusia 17 tahun dari Kuala Lumpur, menarik perhatian saya sepanjang minggu ini. 

Walaupun kali pertama beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia, Ainaa tampak matang dan amat yakin dalam gelanggang. 

Pingat emas Classic Plate dalam acara individu pasti telah menaikkan semangat Ainaa, yang bermain lebih baik dalam acara berpasukan, setelah memberikan mata kepada negara apabila diturunkan menentang Jepun, Kanada dan Switzerland. 

Datang daripada keluarga skuasy, ayahnya, Ampandi Bin Omar, dan ibunya, Noor Suria Binti Awang Hassan, aktif membantu sukan skuasy serta dua abangnya, Mohd Amir Farhan dan Muhammad Aqif, juga merupakan bekas pemain skuasy kebangsaan.

Saya melihat sokongan keluarga banyak membantu Ainaa yang menunjukkan peningkatan prestasi mendadak dan keupayaan itu dibuktikan apabila diberikan peluang beraksi di perlawanan akhir acara berpasukan. 

Setelah pemain nombor 1 remaja negara, juga semifinalis acara individu, Aifa Azman, yang telah memberi segala-galanya dalam gelanggang tersungkur kepada juara remaja dunia 2019, Hania El Hammamy, Ainaa mengambil baton untuk menyelamatkan Malaysia. 

Sebaik sahaja perlawanan bermula, si 'cili padi' Ainaa menunjukkan 'kepedasannya' sehingga lawan, Farida Mohamed, semifinalis acara individu yang mempunyai bentuk fizikal lebih besar, menangis tertekan daripada asakan Ainaa. 

Ainaa bijak memilih strategi untuk menjawab pukulan kuat dan kencang pihak lawan dan walaupun berbadan kecil, dia bermain garang seperti harimau. 

Wajib menang untuk membawa Mesir bermain di perlawanan penentuan, Ainaa mengejutkan kem lawan apabila mendahului 2-1 dan hampir catat kemenangan terbesarnya pada mata 9-9 di set keempat tetapi tewas 9-11. 
Selepas itu, Farida meneruskan rentak kemenangannya dalam set kelima 11-4 untuk memberikan kejuaraan dunia berpasukan remaja wanita tujuh kali berturut-turut kepada Mesir. 

Malaysia kalah bermaruah dan saya pasti tepukan gemuruh penonton yang berdiri memberi penghargaan buat Ainaa akan menjadi satu memori yang tidak akan dilupakannya, juga pemangkin semangat untuk mencatat lebih banyak sejarah untuk dirinya dan skuasy Malaysia. 

*kredit photo: The Star

Advertisement

Must Watch Video