Skip to main content

Rencana

Aguero – daripada ancaman kepada sanjungan

sergioaguero.jpg
Setinggi-tinggi penghargaan bukanlah daripada sesiapa yang lain, sebaliknya daripada rakan sepasukan sendiri – dan Sergio Aguero sudah meraihnya.

Penyerang antarabangsa Argentina itu tidak syak lagi telah meraih penghormatan terhadap ketangkasannya menyumbat jaringan untuk Manchester City, kata pengurusnya, Pep Guardiola.

Penyerang berjersi no. 10 itu telah menyumbat golnya yang ke-30 dalam semua kejohanan buat City musim ini dalam perjalanan kepada kemenangan 3-0 ke atas Arsenal dalam final Piala EFL di Stadium Wembley, Ahad lalu.

Ia adalah kali kali ketiga dalam tempoh empat musim lalu yang menyaksikan Kun Aguero mencapai penanda aras itu.

Penyerang berusia 29 tahun itu menyumbat 29 gol pada musim 2015-16 dan setelah mengatasi rekod jaringan terbanyak sepanjang zaman City pada awal musim ini, dia telah meningkatkan jumlah jaringan peribadinya kepada 199 gol secara keseluruhan buat bakal juara Liga Perdana Inggeris 2017-2018 itu.

Apa yang menghairankan, sejak berpindah ke Stadium Etihad daripada Atletico Madrid pada musim 2011-12, Aguero tidak pernah dinamakan dalam senarai pasukan terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) atau sebarang anugerah utama individu pada penghujung setiap musim.

Dengan Kevin De Bruyne lebih menonjol selaku bintang City dalam kemaraan mereka terhadap kejuaraan sambil Harry Kane dan Mohamed Salah sering menjadi tajuk utama, masing-masing buat Tottenham dan Liverpool, Aguero seakan-akan ditenggelami sekali lagi musim ini.

Guardiola, yang bercakap menjelang kunjungan ke Arsenal untuk perlawanan liga hari ini, menyanjung ketajaman penyudah penyerangnya itu di samping menawarkan satu perspektif berbeza:

"199, wow," ujarnya. “Pengiktirafan terbaik yang mampu diraih adalah daripada rakan sepasukan sendiri dan dia memilikinya.

“Kami semua gembira dengan apa yang dilakukan Sergio sepanjang dua tahun ini – gol-golnya dan cara dia cuba membantu kami dan ketika tanpa bola.”

Anehnya, pujian tidak mengalir dengan mudah buat Kun Aguero, terutama daripada Guardiola, yang pernah menuntut penyerangnya itu agar meningkatkan permainan menjelang permulaan cemerlang Gabriel Jesus dalam bola sepak Inggeris hingga Aguero disisihkan ke bangku pemain simpanan.

Ikhtiar untuk mendapatkan Alexis Sanchez daripada Arsenal sebelum penyerang Chile itu memilih untuk menyertai Manchester United, juga mencadangkan Guardiola seakan-akan kurang mempercayai Aguero.

“Kadang-kadang saya menuntut lebih lagi daripadanya dan pemain lain kerana saya mahukan yang terbaik daripada mereka,” jelas Guardiola.

“Saya fikir dia boleh melakukan yang lebih baik lagi, bukan kerana sebab-sebab lain.

“Ia adalah untuk membantunya dan dia harus tahu dia perlu sentiasa cemerlang untuk berada dalam pasukan. Bukan hanya Sergio, malah kesemuanya sekali.

“Satu-satunya cara untuk terus bagus dalam dua, tiga atau empat kejohanan ialah untuk menjadi seperti ini.”

Guardiola menambah: “Saya fikir bola sepak Inggeris, Eropah dan dunia mempunyai banyak pengiktirafan terhadap Sergio kerana ia bukan hanya satu musim, malah sudah banyak musim (dia cemerlang).

“Saya gembira dengan gol-gol yang telah dijaringkannya dan masih ada tiga bulan untuk dia menjaringkan lebih banyak lagi.

“Dia salah seorang yang terbaik, itu sudah pasti.”

Daripada Aguero yang pernah berasa tertekan sebelumnya, kini ia berbalik kepada Jesus untuk meraih semula tempatnya.
 

Advertisement

Must Watch Video