Skip to main content

Rencana

2017 tahun ujian buat hoki Malaysia

190516malaysiahoki.jpg
Apabila gagal ke Sukan Olimpik Rio 2016, di mana pasukan negara gagal dalam Liga Hoki Dunia 3 pada 2015 di Antwerp, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terus saja melakukan tindakan drastik di bawah kepimpinan presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, serta dibantu oleh Exco Tertinggi KHM dalam merencanakan hala tuju yang baru buat hoki Malaysia. 

Dengan pacuan yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Logan Raj, dan Pengarah Teknikal, Terry Walsh, mereka menghasilkan satu "blueprint"  empat tahun.  

"Blueprint" yang begitu terperinci dan menyeluruh ini menekankan empat perkara pokok dalam memastikan objektif empat tahun KHM akan berjaya dicapai: 

1. Pasukan Kebangsaan (National Team)
2. Pertandingan (Competition)
3. Kesedaran (Awareness)
4. Tadbir Urus (Governance) 

Tahun 2016, kita dapat melihat KHM sememangnya berada di landasan yang tepat, terutamanya dalam memperkasakan empat perkara pokok di atas.

Struktur kejurulatihan yang mantap di mana semua pasukan kebangsaan, termasuk skuad Pembangunan Akar Umbi, iaitu 1Mas, mempunyai jurulatih, penolong jurulatih serta jurulatih penjaga gol telah dilantik oleh KHM.

Kini, bagi pasukan-pasukan kebangsaan lelaki dan wanita,  mereka mempunyai kelompok pemain yang lebih besar, iaitu pasukan utama dan juga pasukan pembangunan yang berlatih sepenuh masa. 

Pasukan Remaja Projek 2020 juga telah ditubuhkan dan mempunyai program mereka sendiri dalam misi Piala Dunia Remaja  2020.

Liga Hoki Wanita telah diperkenalkan serta bantuan kewangan diberikan kepada setiap persatuan negeri untuk mereka mengaktifkan semula liga negeri masing-masing. Pada tahun 2016, setelah sekian lama, setiap negeri telah menjalankan liga negeri masing-masing.

Dalam mempopularkan sukan hoki dan juga memupuk kesedaran tentang sukan hoki, KHM telah mengikat kerjasama jangka panjang dengan Astro Arena dalam membuat liputan berita-berita hoki serta menyiarkan secara langsung perlawanan-perlawanan Liga Hoki Malaysia serta perlawanan antarabangsa yang melibatkan pasukan kebangsaan.

KHM turut memastikan media sosial seperti Twitter dan Facebook aktif dalam menyalurkan informasi kepada rakyat Malaysia.

Selain berjaya melangsaikan hutang, KHM juga dilihat berjaya dalam memperkasakan kewangan serta urus tadbir persatuan di samping memeterai perjanjian penajaan jangka panjang dengan Tenaga Nasional Berhad, Astro Arena dan juga Q Net. 
Penajaan ini membuat KHM tidak mempunyai masalah dalam menjalankan operasi pentadbiran dengan lancar. 

Kerjasama berterusan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), terutamanya dalam program-program latihan pasukan kebangsaan, juga membantu dalam urus tadbir kewangan KHM.

Baru baru ini, KHM berjaya memperoleh ISO 9001:2015 "Certificate for Overall Management and Governance". Ini menjadikan KHM persatuan pertama di Malaysia yang dianugerahkan sijil berkenaan.

Penulis melihat banyak yang telah dicapai oleh KHM sepanjang tahun 2016 dalam urus tadbir pengurusan mereka. 

Buat pasukan pasukan kebangsaan lelaki dan wanita, tahun 2016 ini boleh dianggap sebagai tahun persiapan yang boleh diibaratkan seperti penuntut membuat persiapan untuk menduduki ujian ataupun peperiksaan. 

Penulis ibaratkan 2016 tahun persiapan manakala tahun 2017 adalah tahun ujian ataupun peperiksaan. 

Sama ada kita berjaya atau gagal dalam ujian ini, semua ingin melanjutkan pengajian ke universiti. Universiti untuk pasukan lelaki negara adalah Piala Dunia 2018 manakala pasukan wanita adalah Liga Hoki Dunia 3 nanti.

Harapan kita adalah pasukan pasukan negara berjaya menterjemahkan kecemerlangan KHM dalam aspek pengurusan dan urus tadbir dengan kejayaan dan kecemerlangan di atas padang.

Walaupun "blueprint" menyasarkan objektif terpenting adalah layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Piala Dunia 2018 juga penting dalam kita ingin ke Tokyo nanti.

Jadi, 2017 adalah tahun yang sangat getir dan penting buat KHM dan juga pasukan-pasukan kebangsaan.

Selamat Tahun Baru 2017 kepada semua. Semoga apa yang dirancangkan berjaya dengan gemilang dicapai. 
 

Advertisement

Must Watch Video