Skip to main content

Rencana

14 tahun satu Kejohanan Dunia

lee-hup-wei.jpg
Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei seakan tidak percaya dia dipilih mengisi slot wildcard Kejohanan Dunia di Doha, Qatar, bermula 28 September depan.

Dia menunggu sejak 2005 untuk menyertai Kejohanan Dunia - satu-satunya pentas idaman belum disertai di pentas antarabangsa.

"Saya sudah menang ATF (Kejohanan Asia), Grand Prix Asia, Sukan Olimpik (2008), Sukan Asia dan Komanwel".

"Ini akan melengkapkan karier saya. Keputusan yang sukar dipercayai," katanya.

Hup Wei berada di Uzbekistan menyertai untuk dua kejohanan - yang pertama sudah ditaklukinya menerusi emas dengan catatan 2.21 meter.

Ia kejohanan terakhir sebelum dia fokus terhadap persiapan Sukan Sea Filipina.
Untuk rekod, Malaysia mendominasi emas lompat tinggi lelaki sejak temasya 1977 di Manila, Filipina.

Seorang lagi jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh yang beraksi pada Kejohanan Dunia 2017 mengucapkan tahniah kepada jaguh veteran itu.

"Hup Wei berusaha keras. Ini penghormatan untuk atlit lompat tinggi.

"Saya doakan dia berjaya di Doha dan mengharumkan nama negara," kata pemegang rekod kebangsaan, 2.30m itu.

Lama benar penantian Hup Wei.

Saya yakin perjalanannya masih panjang. Cabaran untuk Hup Wei dan Nauraj, 2.33m - had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020!

Advertisement

Must Watch Video