Skip to main content

Bola Sepak

Zidane beri jaminan kepada Vinicius

viniciusjunior.jpg
Vinicius Junior mendedahkan Zinedine Zidane telah memberitahunya bahawa dia boleh menikmati karier yang panjang di Real Madrid.

Pemain berusia 19 tahun itu bergelut untuk kekal dalam kesebelasan utama di Real sejak menyertai Los Blancos musim lalu, selepas menyerlah bersama Flamengo.

Tetapi penyerang itu berkata ketua jurulatih, Zidane, optimis dia bakal menghadapi karier yang baik di Santiago Bernabeu jika dia terus memperkembangkan mutu permainannya.

"Zidane mahu saya supaya tenang dan terus berkembang sebagai seorang pemain bola sepak. Dia memberikan jaminan bahawa saya akan memiliki karier yang panjang bersama Real," kata Vinicius.

"Sama seperti Marcelo dan Casemiro, yang lama di Santiago Bernabeu."

Vinicius telah membuat tiga penampilan dalam saingan LaLiga, hanya satu daripadanya dalam kesebelasan utama ketika merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Celta Vigo.

Turun beraksi sebagai sayap kanan, Vinicius berkata dia gembira turun beraksi di mana-mana posisi.

"Ketika saya mula bermain bola sepak, saya selalu bermain sebagai sayap kanan dan ia bukan suatu  perkara yang rumit," tambahnya.

"Perkara paling penting adalah memberikan aksi berkualiti dan menghasilkan keputusan yang positif.

"Sememangnya, saya berasakan beraksi di bahagian kanan lebih sukar tetapi saya cuba untuk meningkatkan lagi mutu persembahan dalam setiap sesi latihan Real."

Vinicius -- yang dijangka membuat penampilan sulung bersama Brazil berdepan Colombia dan Peru bulan ini -- berharap untuk menggunakan peluang dan mengagumkan Zidane pada permulaan musim ini.

"Permulaan musim sememangnya menyukarkan. Pemain baru sentiasa diuji dan Real dibarisi ramai bintang berkualiti.

"Zidane memberikan peluang untuk menyerlah dan itu adalah tujuan saya bagi memastikan musim yang cemerlang untuk pasukan."

Advertisement

Must Watch Video