Skip to main content

Bola Sepak

Zaha digantung satu perlawanan lagi

wilfriedzaha.jpg
Penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha, dikenakan penggantungan tambahan satu perlawanan oleh Persatuan Bolasepak England (FA).

Hukuman itu turut melibatkan denda £10,000 (RM52,702) ekoran kelakuan pemain berusia 26 tahun itu ketika dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Southampton bulan lalu.

Zaha dilayangkan kad kuning pertama selepas bertembung dengan James Ward-Prowse dan dikenakan kad kuning kedua disebabkan tindakan susulannya memberikan tepukan kepada pengadil, Andre Marriner.

Penyerang kebangsaan Ivory Coast itu meneruskan kelakuan itu sepanjang perjalannannya ke luar padang dan FA mengenakan hukuman tersebut atas dakwaan berkelakuan tidak wajar.

Zaha dipinggirkan ketika pasukannya menewaskan Fulham 2-0 akibat penggantungan berkenaan, namun penggantungan tambahan tidak akan berkuatkuasa memandangkan dia kini sedang dalam proses rayuan.

Sebagai rekod, Zaha telah menjaringkan empat gol sepanjang 21 penampilannya musim ini dengan Palace kini menghuni tangga ke-14 liga dan hanya dibezakan empat mata daripada zon penyingkiran.

Advertisement

Must Watch Video