Skip to main content

Bola Sepak

UNL: Mbappe merajuk wakili Perancis kerana jadi mangsa kecaman?

mbappe.jpg
Kylian Mbappe sedia mempertimbangkan untuk berehat daripada mewakili Perancis selepas dilanda kekecewaan dalam Euro 2020.

Mbappe menempuhi kempen yang mengecewakan dalam kejohanan benua itu apabila gagal melaksanakan penentuan penalti ketika menentang Switzerland untuk terkandas di peringkat 16. 

Buat julung kalinya pemain berusia 22 tahun itu ketandusan gol dalam kejohanan utama di sebalik melepaskan 14 percubaan sepanjang 390 minit kempen berkenaan sambil masa depannya diselubungi keinginannya untuk berpindah ke Real Madrid.

Pemain antarabangsa Perancis itu juga terlibat dengan perbalahan dengan penyerang, Olivier Giroud, sebelum sepak mula menentang Jerman dalam kejohanan berkenaan apabila didakwa tidak mahu melorongkan bola kepadanya. 

Justeru, timbul laporan bahawa Mbappe berasa terganggu untuk mewakili Les Bleus, secara tidak langsung mempertimbangkan untuk berehat di pentas antarabangsa. 

"Saya selalu mendahulukan pasukan kebangsaan dan saya akan sentiasa berbuat demikian," kata penggempur Paris Saint-Germain PSG itu kepada media Perancis, L'Equipe, menjelang perhitungan dengan Belgium dalam Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi Jumaat ini. 

"Saya tidak pernah mengambil sesen pun ketika beraksi untuk Perancis dan saya akan sentiasa bermain secara percuma.

"Saya tidak pernah mahu mencetuskan masalah. Tetapi saya mula berasa bahawa saya dianggap punca masalah dan orang beranggapan saya begitu tetapi apa yang paling penting adalah Perancis.

"Dan adakah pasukan kebangsaan lebih bahagia tanpa saya, ia mula mempengaruhi saya dan itulah yang saya rasakan.

"Ego saya dianggap penyebab kekalahan kami kerana saya mahu menjadi tumpuan utama, oleh itu tanpa saya kami mungkin menang.

"Saya sempat bertemu Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet, dan kami saling bertukar pendapat."






Juara dunia itu tampak di landasan tepat untuk mara ke suku akhir Euro 2020 apabila mendahului 3-1 dengan baki 10 minit permainan lagi.

Namun, Switzerland mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan dua gol lewat sebelum Yann Sommer dapat menerpa dengan tepat tendangan Mbappe dalam penentuan penalti.

Seiring dengan kegagalan dari jarak 12 ela itu, pemain berusia 23 tahun tersebut turut gagal melakukan sebarang percubaan tepat dalam enam usahanya ketika menentang skuad bimbingan Vladimir Petkovic berkenaan, tetapi cemuhan berbentuk perkauman membuatkannya mahu mempertimbangkan masa depannya di pentas antarabangsa.

"Saya sangat mencintai pasukan Perancis tanpa mengira apa keadaannya sekalipun," sambungnya. 

"Apa yang mengejutkan saya ialah hingga digelar monyet. 

"Saya dambakan sokongan, bukan disebabkan sepakan ke kiri saya yang ditepis Sommer: mentang-mentang ia adalah daripada kaki saya jadi saya yang dipersalahkan. 

"Saya dicemuh di setiap stadium di Perancis! Malah, bukan itu saja, ia juga dipengaruhi faktor saya mahu berpindah, tetapi kenyataannya saya diejek di semua stadium.

"Begitupun, saya memahami semua perkara dalam dunia sukan hari ini: jika anda tidak bagus, maka anda haruslah menelan apa sahaja yang diperkatakan orang ramai. 

"Jadi saya hanya perlu melihat kepada diri sendiri di cermin: saya tidak sehebat yang disangkakan, saya akur dan menelan sahaja kegagalan ini kerana ia akan bekalan yang baik buat saya."

Advertisement

Must Watch Video