Skip to main content

Bola Sepak

Undian UEL: United jumpa Sociedad, Benfica uji Arsenal

ole-gunnar-solskjaer.jpg
Manchester United diundi untuk bertemu Real Sociedad manakala Arsenal akan menghadapi Benfica dalam pusingan 32 Liga Europa (UEL).

United merupakan salah satu pasukan dari Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi keputusan undian malam tadi ternyata tidak memihak skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu.

Sociedad kini menduduki tangga teratas LaLiga dan hanya tewas dua kali dalam kesemua kejohanan musim ini.

Kelab Sepanyol itu -- yang turut memiliki bekas pemain United, Adnan Januzaj, dan bekas kapten Manchester City, David Silva, dalam senarai pemainnya -- akan memperoleh kelebihan beraksi di laman sendiri dalam perlawanan pertama Februari depan.

Arsenal, dalam pada itu, akan bertemu naib juara Kumpulan D, Benfica.

Skuad The Gunners itu cemerlang dalam saingan Eropah tetapi bergelut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana kekalahan 0-1 kepada Burnley hujung minggu lalu merupakan kekalahan keempat berturut-turut mereka di laman sendiri.

Seteru London mereka, Tottenham, akan bertemu kelab Austria, Wolfsberger, apabila saingan peringkat Eropah itu bersambung tahun depan.

Leicester City pula akan turun ke laman Slavia Prague dalam perlawanan pertama manakala AC Milan perlu mengatasi Red Star Belgrade seandainya mahu kekal dalam pemburuan gelaran peringkat Eropah.

Rangers kendalian Steven Gerard akan menentang Royal Antwerp, AS Roma akan bertemu Braga manakala Napoli lawan Granada.

Ajax, yang menamatkan saingan peringkat kumpulan UCL di tangga ketiga, akan menentang Lille.

Perlawanan pertama pusingan 32 akan berlangsung pada 18 Februari depan manakala perlawanan timbal balik pula akan mengambil tempat seminggu kemudian.
 
Undian penuh:
Wolfsberger lwn Tottenham
Dynamo Kiev lwn Club Brugge
Real Sociedad lwn Manchester United
Benfica lwn Arsenal
Red Star Belgrade lwn AC Milan
Royal Antwerp lwn Rangers
Slavia Prague lwn Leicester City
Salzburg lwn Villarreal
Braga lwn Roma
Krasnodar lwn Dinamo Zagreb
Young Boys lwn Bayer Leverkusen
Molde lwn Hoffenheim
 

Advertisement

Must Watch Video