BOLA SEPAK
Tunku Ismail dedah FAM alami defisit kewangan RM40 juta
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengakui berdepan cabaran untuk mengatasi defisit kewangan berjumlah RM40 juta yang ditanggung badan induk itu.
"Masalah paling besar adalah kewangan. Kita kekurangan RM40 juta, kita bukan bercakap mengenai RM10 juta tetapi RM40 juta," katanya. "Nak cari dari mana RM40 juta. Itu masalah yang saya hadapi."
Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan dengan pengamal media di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, hari ini.
Iklan
Menurut Tunku Ismail, kekurangan daripada segi dana itu menjejaskan perancangan FAM, khususnya dalam membantu perjalanan saingan liga tempatan.
Perangkaan itu diutarakan selepas beliau meneliti segala perbelanjaan yang dilakukan badan induk itu semasa di bawah kepimipinan terdahulu.
Antara langkah yang telah diambil termasuk menamatkan khidmat 20 kakitangan, antaranya membabitkan seluruh unit kejurulatihan skuad bawah 22 tahun negara.
Tunku Ismail juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa penaja baharu yang diharapkan dapat membantu membina semula kekuatan kewangan FAM.
Sementara itu, barisan exco yang telah dipertanggungjawabkan, bakal menjalankan tugas masing-masing dengan mesyuarat exco pertama di Sabah, Sabtu ini dapat merungkai dengan lebih jelas hala tuju FAM selepas ini.
"Setiap masalah akan dibentangkan (dalam mesyuarat exco pertama) dan juga meletakkan tanggungjawab kepada setiap exco."
Must-Watch Video