Skip to main content

Bola Sepak

Tunggakan gaji pemain cecah RM6.4 juta

gaji.jpg
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan beberapa pasukan  masih mempunyai tunggakan gaji kepada pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, berkata perkara itu menjadi simbol kegagalan urus tadbir yang profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia.

Dia juga percaya jika isu itu masih gagal diselesaikan, industri bola sepak negara tidak mampu untuk bergerak ke arah Pelan Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), F30 atau NEX50.

"RM6.4 juta ini adalah bukti betapa industri bola sepak negara sedang tenat atau mungkin ia tidak lagi mapan untuk bergerak sebagai sebuah industri.

"Kami sedang menghantar mesej moral yang sangat negatif buat anak-anak kecil yang berimpian untuk memasuki industri ini.

"PFAM berasa teramat kecewa dengan pihak yang lepas tangan serta mereka yang menuding jari bermain 'blame game', lantas menzalimi pemain yang bergantung sepenuhnya terhadap industri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Justeru, Izham menegaskan pasukan yang berhutang perlu bertanggungjawab dan tidak mencari alasan untuk melengahkan atau mengelak daripada membuat bayaran.

"Bayangkanlah kegetiran dan kepayahan yang dihadapi oleh pemain untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Pandanglah mereka sebagai manusia, bukannya sebagai hamba.

"Jika itu pun bukan lagi menjadi asbab untuk pasukan-pasukan ini melangsaikan hutang, ternyata bola sepak Malaysia bukan sahaja sudah hilang nilai profesionalnya tetapi juga sudah kehilangan jiwa kemanusiaannya," katanya.

Dia juga menjelaskan nilai tunggakan RM6.4 juta itu masih belum menggambarkan angka sebenar hutang dalam industri bola sepak negara memandangkan ia hanyalah tunggakan yang dilaporkan pemain dan PFAM percaya jumlah tersebut adalah lebih besar jika melibatkan barisan kejurulatihan dan pemain import.

"Begitu juga maklumat-maklumat tidak rasmi yang diterima oleh PFAM tetapi pemain masih berdiam kerana ingin memberi masa kepada pasukan," katanya.

Izham juga berkata PFAM berasa amat kecewa memandangkan sebelum ini pasukan terbabit menggunakan alasan sedang menunggu wang geran hak penyiaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan hutang, namun pasukan terlibat masih gagal membuat bayaran meskipun wang telah diberikan MFL.

"Pasukan seperti Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung perkara ini.

"Malah, ada juga pasukan yang membuat perjanjian untuk bayaran secara berperingkat kepada pemain, namun masih melanggar perjanjian tersebut seperti pasukan ATM, PDRM dan Felda FC," katanya.

Selain itu, menurut Izham, nasib  pemain daripada pasukan-pasukan yang telah ditutup terus terpinggir dan tidak terbela.

"Pemain Perlis, TCFC (Terengganu City), Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United terus berada dalam keadaan yang tidak menentu kerana kelompongan struktur sedia ada yang tidak memberi sebarang jaminan terhadap nasib pemain ini.

"PFAM menyeru perhatian kerajaan negeri, jika ini langkah terakhir, untuk tampil memberikan bantuan berhubung perkara ini. Lihatlah ia sebagai isu rakyat dan bukan sekadar masalah bola sepak," katanya.

-- BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video