Skip to main content

Bola Sepak

Tuchel guna sistem penggiliran atasi isu kecederaan

thomas-tuchel-psg-09172019_lhd7nu61o66p1g8hftzpsx0r7.jpg
Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, memberitahu dia akan menggunakan sistem penggiliran menjelang pertemuan dengan Reims dalam aksi Ligue 1, awal pagi esok tatkala pasukannya dilanda masalah kecederaan.

Penyerang, Mauro Icardi, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani masing-masing tidak dapat diturunkan, begitu juga dengan pertahanan, Thilo Kehrer, dan pemain tengah, Julian Draxler, sambil Marco Verratti digantung.

Neymar dan Eric Maxim Choupo-Moting merupakan nama senior yang boleh beraksi buat PSG yang kini memiliki kelebihan tiga mata di puncak liga selepas enam perlawanan.

Selepas terlepas minggu pembukaan akibat kecederaan dan masa depan yang samar, Neymar menghasilkan gol kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut ke atas Strasbourg dan Lyon.

Bagaimanapun, Tuchel berpendapat penggempur Brazil itu mungkin akan direhatkan ketika menentang Reims bagi memastikan dia cergas menghadapi jadual seterusnya.

"Tidak mungkin untuk memilih pemain sama," katanya.

"Saya bertanggungjawab dengan pasukan, hanye mempunyai dua hari untuk berehat.

"Kami akan berdepan Bordeaux, kemudian aksi di Istanbul (berdepan Galatasaray dalam Liga Juara-Juara Eropah) dua hari selepas itu, jadi kami tidak boleh menggunakan kudrat pemain berlebihan."

Neymar dilaporkan lewat hadir ke latihan hari ini tetapi Tuchel menegaskan ia disebabkan oleh isu peribadi.

Pemain berusia 27 tahun itu tampak masih belum dimaafkan peminat PSG selepas secara terbuka mengakui mahu meninggalkan pasukan pada musim panas lalu.

Namun, pertahanan PSG, Thomas Meunier, berpendapat peminat perlu melupakan perkara itu dan mempertahankan Neymar.

"Mengejek bukan jawapannya. Saya gembira dengan apa yang Neymar bawa dalam pasukan," tambahnya.

"Secara profesional, dia lakukan perkara betul. Dia tidak membuat cerita dan meyakinkan diri sendiri bahawa masih mampu memainkan peranan dalam kelab."
 

Advertisement

Must Watch Video