Skip to main content

Bola Sepak

TRW hilang rentak kerana ketiadaan Gomis -- Zahasmi

27417sarawak_kelantan_1.jpg
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, mempunyai alasan tersendiri untuk berasa bersyukur setelah berjaya mencuri satu mata dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri di Kuching, malam tadi.

Dengan corak serangan bertali arus serta beberapa percubaan berbahaya Sarawak, sememangnya Kelantan perlu berterima kasih kepada penjaga gawangnya, Mohd Ramdhan Abdul Hamid, yang beraksi cemerlang.

"Syukur, tuah membantu kami," katanya lega sejurus tamat aksi tanpa jaringan.

Satu mata tersebut membawa The Red Warriors kekal di kedudukan kelima liga manakala Sarawak kekal di tangga kesebelas.

Pun begitu berkata Zahasmi, dia berpuas hati dengan aksi tersebut.

"Di atas kertas kami menguasai perlawanan, tetapi Sarawak mempunyai peluang yang banyak.

Mereka memiliki pemain muda di bahagian sayap yang pantas dan ini menyebabkan para pemain saya keletihan."

Kerana itu, katanya, dia bersyukur dengan keputusan tersebut biarpun Kelantan turut memiliki beberapa peluang keemasan untuk mendahului.

Jelasnya, pada 35 minit pertama pasukannya sedikit tertekan dengan corak serangan skuad Bujang Senang.

"Pemain lambat menyesuaikan diri, menyebabkan lawan mengambil kesempatan menguasai permainan. Malah ketiadaan Morgaro Gomis menyebabkan kekuatan tengah kami hilang, dan ini menghadirkan tekanan."

Namun begitu tambahnya, dia gembira anak buahnya mula mendapat rentak pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan mengekalkannya pada keseluruhan separuh masa kedua.

"Pemain-pemain kami jelas keletihan. Sarawak pula beraksi begitu baik di tempat sendiri. Ini menyebabkan saya terpaksa memasukkan pemain-pemain muda untuk menyaingi mereka.

"Setelah itu, barulah kami dapat meleraikan kebuntuan dan akhirnya dapat mencipta beberapa peluang, terutamanya melalui Ghaddar. Namun rezeki kami tidak ada dan keputusan tidak memihak."

Zahasmi berkata, fokus selepas ini adalah untuk melayan Pahang, dan dia akan mengkaji keperluan untuk membuat pertukaran.

"Kami mungkin kehilang Zamani (Norhafiz Zamani Misbah). Oleh itu saya perlu merancang 'sesuatu yang lain' untuk pasukan Tok Gajah," tambahnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video