Skip to main content

Bola Sepak

Tragedi Chapecoense ubah Demerson

demerson-220417.jpg
Nahas kapal terbang yang menimpa kelab Brazil, Chapecoense, November lalu, nyata memberi kesan buat pemain-pemainnya yang terselamat daripada tragedi berkenaan. 

Salah seorang bekas pemain Chapecoense, Demerson Bruno Costa, kini beraksi dalam saingan Liga Super bersama Sarawak.

Demerson mengakui meneruskan karier di luar dari Brazil merupakan pilihan tunggal dalam kariernya susulan daripada tragedi itu. 

"Ia peristiwa paling tragis dalam hidup saya kerana kehilangan ramai teman rapat," kata pemain yang beraksi di bahagian pertahanan tengah itu. 

"Mungkin kalau saya masih beraksi di Brazil, saya gagal menampilkan permainan yang bagus kerana mengenangkan peristiwa itu. 

"Begitupun, beraksi bersama Sarawak membuat saya berasa selesa," katanya. 

Menurutnya lagi, dia masih terkenangkan rakan-rakan yang terkorban dalam nahas yang meragut seramai 71 penumpang itu ketika menuju ke Colombia bagi menghadapi pertemuan pertama final Copa Sudamericana. 

"Chapecoense ibarat sebuah keluarga bagi saya. Tiap kali mengenangkannya, saya berasa sedih. 

"Pemain Sarawak seperti Chapecoense kerana kami umpama sebuah keluarga. 

"Disebabkan itulah, saya mahu membantu Sarawak," katanya. 

Biarpun prestasi Ngap Sayot tidak begitu membanggakan ketika ini, Demerson tetap positif mengenai kemampuan pasukan kendalian David Usop itu.

"Kami perlukan keyakinan dalam diri pemain kerana itulah elemen penting dalam bola sepak. 

"Justeru, saya mahu kekal lama di sini."

Advertisement

Must Watch Video