UEL
Tony Adams yakin mampu lonjak imej Granada
Tony Adams percaya Granada memiliki masa depan yang cerah meskipun berkemungkinan hilang status saingan peringkat tinggi di Sepanyol.
Pengurus berbangsa Inggeris itu memikul tanggungjawab berkenaan di kelab Andalusia itu buat sementara waktu sejak awal bulan ini sehingga akhir kempen bagi menggantikan Lucas Alcaraz yang dipecat.
Selepas tewas 3-0 kepada Celta Vigo pada hujung minggu lalu, Granada menduduki tangga kedua tercorot LaLiga, tujuh mata di belakang pasukan yang berada di kedudukan ke-17, Leganes, dengan baki aksi liga musim ini hanya tinggal enam perlawanan.
Iklan
Adams, yang tiba pada November lalu untuk menjalankan kajian penstrukturan semula kelab itu bagi pihak pemilik China, mendedahkan ancaman penyingkiran tidak akan menghentikan usaha mereka di belakang tabir lebih awal berbanding ketika musim panas yang sibuk.
"Skuad musim depan sudah dibentuk sebanyak 40 peratus, tidak kira dalam divisyen mana pun," katanya menerusi laman sesawang rasmi kelab itu.
"Pedro (Morilla) merupakan ketua pengambilan pemain yang menakjubkan. Kami telah bekerja keras dalam tempoh lima bulan lepas di mana dia mempunyai empat pembantu teknikal di dalam biliknya, dan mereka sedang melakukan kerja yang menakjubkan.
"Seperti yang saya katakan, usaha membentuk skuad musim depan sudah pun berjalan 40 peratus. Itulah perbezaan besar berbanding 13 pemain pinjaman yang dibawa masuk pada musim panas lalu.
"Kita bercakap pada April dan jendela perpindahan ditutup pada Ogos dan 40 peratus usaha sudah pun dijalankan bagi persiapan musim depan.
"Kelab ini mempunyai masa depan yang cerah, hasilnya mungkin tidak dapat disaksikan pada hari ini, tetapi ia mempunyai masa depan yang cerah."
Adams yang akan membawa Granada berkunjung ke Sevilla, awal pagi esok, turut mengesahkan kelab itu semakin hampir melantik seorang pengarah sukan yang baru.
"Kami akan mengumumkannya pada minggu depan," kata bekas pemain antarabangsa England itu.
"Saya telah menjalankan penyelidikan selama lima bulan dan kami telah mengenal pasti individunya.
"Tetapi, saya perlu mengatakan bahawa dia akan menjadi sebahagian daripada pasukan dan bukan 'diktator'. Kami akan mempunyai sebuah pasukan di sini di mana semua orang akan bekerja keras. Kami semua bekerja bersama-sama."
Must-Watch Video