Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, perlu akur berkongsi satu mata dengan PDRM FC untuk melanjutkan rentetan tanpa kalah Sang Penyu kepada tiga perlawanan Liga Super.

PDRM FC mengukuhkan lagi rekod tanpa dibolosi mereka musim ini apabila mengheret Terengganu FC buntu tanpa jaringan malam tadi.

Keputusan itu merupakan rekod kebal kelima Sang Saka Biru di Kelana Jaya musim ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 11 Mac lalu dengan skuad Peteh menang tipis 1-0 di laman sendiri.

Dan selepas 17 perlawanan, Terengganu dan PDRM hanya dibezakan dengan dua mata di tangga ketujuh dan kelapan.

Tumpuan sudah pasti kepada import baru Terengganu, Nurillo Tukhtasinov, yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Super Uzbekistan.

Bagaimanapun, pengaruhnya di samping kapten pasukan, Habib Haroon, di bahagian tengah gagal menghadirkan impak seperti yang diharapkan.

Peluang terbaik untuk Sang Penyu memecah kebuntuan adalah pada minit ke-19 menerusi tandukan Adisak Kraison.

Selepas peluang seimbang dalam separuh masa pertama, Terengganu meningkatkan asakan dalam babak kedua dalam usaha memburu jaringan pembukaan.





Dan ketika hadirin di Stadium MBPJ menyangka jarangan akan terhasil pada minit ke-60, namun keputusan Sonny Norde untuk tidak melorongkan bola kepada Adisak susulan larian solo berkesudahan dengan rembatannya dihadang pertahanan PDRM untuk masing-masing terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

"Kami mempunyai 6-7 percubaan dari jarak jauh termasuk daripada Adisak dan kami menguasai babak pertama.





"Separuh masa kedua baik tapi tidaklah seperti babak sebelumnya. Kami juga mempunyai beberapa peluang, khususnya detik gelecekkan Sony Norde.

"Saya harap televisyen menyiarkannya memandangkan sering kali sesuatu jaringan itu diulang tayang tetapi percubaan menarik tidak ditekankan.

"Saya tidak pastikan adakah ia sepakan penalti atau tidak.

"Mungkin ketika PDRM lawan Kedah Darul Aman mereka sudah menghadiahkan sepakan penalti jadi (adakah perlu) buat sekian kali hari ini, tapi penalti adalah penalti.

"Saya juga takut dengan beberapa terjahanan keras daripada PDRM.

"Oleh sebab mula meningkatkan asakan, ia mengundang beberapa kesilapan di benteng tapi tidak mengapalah untuk beberapa situasi menarik PDRM itu.

"Adakala satu mata di tempat sudah memadai tapi kami sekali lagi buntu menghasilkan gol," katanya.

Tambahnya mengenai Tukhtasinov: "Mutu permainannya tidaklah buruk dan tidak juga sempurna. Saya harap dia dapat segera sesuaikan diri."