BOLA SEPAK
Tewas di tangan Colombia satu tamparan buat Perancis, kata Giroud
Olivier Giroud berkata ia seperti satu tamparan untuk Perancis kerana tewas 3-2 di tangan Colombia setelah mendahului dua gol dalam perlawanan antarabangsa di Stade de France, semalam.
Perancis mendahului 2-0 hasil jaringan ke-30 Giroud untuk negaranya dan serangan balas yang disudahkan bintang Monaco, Thomas Lemar.
Tetapi, Luis Muriel dan Radamel Falcao mengimbangi kedudukan sebelum penalti lewat yang diambil Juan Quintero melengkapkan kebangkitan Colombia di Paris.
Iklan
Les Bleus dianggap antara pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia tetapi Giroud menerima Perancis mesti menunjukkan respons dalam aksi menentang tuan rumah kejohanan itu, Russia, Rabu ini.
"Perlawanan bola sepak sentiasa ada dua bahagian," kata penyerang Chelsea, Giroud, kepada wartawan. "Kami tidak boleh tenang dan terlalu yakin.
"Terutama terhadap perkara-perkara penting semasa perlawanan seperti intensiti tinggi: pertarungan, agresif dan keazaman. Ini adalah perkara penting untuk berjaya.
"Saya berharap 'tamparan' dalam babak kedua ini akan memberi peringatan kepada kami untuk bangkit -- dan melakukannya sebelum Rabu ini."
Sementara itu, pemain tengah Juventus, Blaise Matuidi, berkata Perancis tidak harus panik.
"Tidak, ia tidak membimbangkan," kata Matuidi. "Sudah tentu, kami perlu sedar bahawa kami melakukan beberapa perkara yang baik dan buruk hari ini.
"Perkara buruk ini menyebabkan kami menang dan membuat kami kalah. Ia tugas kami untuk melihat apa yang silap dan cuba membetulkannya pada Rabu ini.
"Tetapi saya tidak mahu mengatakan ia membimbangkan. Kami tidak perlu pergi sejauh itu, tidak semuanya perlu dibuang."
Dalam pada itu, rakan sepasukan Giroud di Chelsea, N'Golo Kante, berkata kesilapan individu menjadi punca kekalahan Perancis, selain kekeliruan taktikal selepas Colombia menyamakan kedudukan.
"Dalam babak kedua, Colombia bertindak balas dengan baik, mereka memberi tekanan yang meletakkan kami dalam masalah," kata Kante. "Kemudian, kami menghadapi masalah untuk bermain dengan cara kami.
"Ketika 2-2, kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan -- serang atau bertahan. Mereka menang 3-2 tetapi saya fikir kami tewas perlawanan itu kerana kami sendiri, kerana kesilapan kami sendiri."
Must-Watch Video