Bekas pertahanan skuad kebangsaan, Amiridzwan Taj, mengucapkan terima kasih kepada PKNS FC kerana menawarkannya tempat dalam pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2017.
Kecederaan lutut yang dialami ketika sesi pra-musim bersama Terengganu awal tahun ini menutup peluang Amiridzwan untuk beraksi sepanjang tahun ini.
Malah, atas faktor itu juga, kontraknya bersama skuad Penyu ditamatkan lebih awal.
Nyata, ia memberi kesan tersendiri buat pemain berusia 30 tahun ini untuk membina semula kariernya.
Beberapa sesi ujian dilalui bekas pertahanan ATM dan Kelantan ini sebelum kelibatnya mendapat perhatian pengendali PKNS FC, E. Elavarasan.
Nyata, kepercayaan yang diberikan Elavarasan serta pengurusan PKNS FC mahu dibalas sebaik mungkin dalam membantu pasukan itu.
"Sebelum ini, memang saya ada mencari pasukan sebelum jurulatih, E. Elavarasan, memanggil saya untuk menyertai aksi persahabatan.
"Akhirnya, mereka bersetuju untuk mengambil saya tetapi jurulatih tidak menggesa saya untuk kembali cergas sepenuhnya," ujar Amiridzwan.
Dalam pada itu, Amiridzwan tidak bimbang mengenai permasalahan pendaftaran pasukan PKNS FC bagi musim 2017.
Jelasnya lagi, apa yang mustahak kini adalah untuk mendapatkan semula rentak dan tahap kecergasan permainan supaya mendapat peluang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
"Saya yakin senario ini dapat diselesaikan dengan cara baik. Ketika ini pun, PKNS sedang menunggu pengesahan rasmi daripada FAM," tambahnya.
Stadium Astro
Sun Dec 11 2016