Skip to main content

Bola Sepak

Swansea calar ego Liverpool selepas 18 perlawanan

swansea.jpg
SWANSEA 1 LIVERPOOL 0

Selepas rebah 1-0 kepada Swansea City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Jurgen Klopp berkata kemenangan hebat Liverpool ke atas Manchester City, hanya seminggu lalu terasa seperti berlaku setengah tahun yang lalu.


Liverpool menjadi pasukan pertama yang mengalahkan pasukan kendalian Pep Guardiola itu dalam EPL musim ini menerusi kemenangan 4-3 di Anfield, 14 Januari lalu, namun mereka terpaksa kembali berpijak di bumi nyata, awal pagi tadi. 

Jaringan Alfie Mawson pada babak pertama menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan sambil Klopp menyatakan kekecewaannya terhadap aksi yang dipamerkan anak buahnya di Stadium Liberty itu.

"Aksi minggu lalu (menentang City) terasa seperti telah berlalu setengah tahun yang lalu, ia bukan sesuatu yang saya minati," katanya kepada Sky Sports.

"Kami kecewa, saya kecewa, saya marah kerana apa yang kami lakukan pada hari ini. Kami perlu mendapat mata, kami perlu belajar daripada itu, pemain saya beraksi lebih baik beberapa minggu lalu tetapi ia tidak membantu kami malam ini.

"Kami kehilangan rentak pada babak pertama, bukan hanya kerana kami dibolosi, malah kami tidak mengawal permainan seperti yang dihajati.

"Kami mahu melakukannya secara berbeza tetapi ia tidak menjadi di atas padang. Selepas separuh masa pertama, kami berkata baiklah ayuh mulakannya daripada awal. 

"Begitupun, sejak babak pertama lagi, kami tidak begitu yakin dengan apa yang kami lakukan," katanya.

Liverpool hampir menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit ke-94 menerusi tandukan Roberto Firmino yang terkena palang sebelum Mawson mematahkan tindakan susulan Adam Lallana.

"Kami mempunyai detik yang menyaksikan kami hampir mendapatkan gol. Kesempatan paling jelas adalah pada penghujung permainan, saya tidak tahu bagaimana bola tidak masuk," kata Klopp lagi. 

"Satu mata pun memadai, namun ia tetap tidak mengubah hakikat permainan hambar kami. 

"Kami perlu bermain dan mencipta banyak peluang, namun pada akhirnya, ia belum cukup bagus."

Keputusan itu menamatkan rentetan 18 perlawanan tanpa kalah Liverpool dalam semua pertandingan, sekali gus meninggalkan mereka di tangga keempat EPL.

Advertisement

Must Watch Video