Skip to main content

Bola Sepak

Sule tidak sabar berdepan Kane

niklas-sule.jpg
Niklas Sule menjangkakan cabaran hebat ketika Bayern Munich berdepan Tottenham Hotspur dalam Liga Juara-Juara Eropah di London awal pagi Rabu ini, namun sudah bersedia untuk mengikat pergerakan Harry Kane.

Bayern akan berkunjung ke Stadium Tottenham Hotspur berbekalkan rekod tiga kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan 3-0 ke atas Red Star Belgrade dalam aksi pembukaan Kumpulan B awal bulan ini.

Kane dan Lucas Moura merupakan penjaring Spurs ketika terikat 2-2 dengan Olympiacos dalam perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun, Sule sedar akan keupayaan finalis musim lalu itu dengan jentera serangan yang lebih berbisa musim ini.

"Ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar untuk berdepan pasukan dengan keupayaan fizikal yang kuat," katanya kepada DAZN.

"Kami perlu meneruskan corak permainan kami dengan kerap menguasai perlawanan dan boleh menewaskan sebarang lawan dengan cara itu.

"Saya lebih memilih untuk berdepan pemain dengan fizikal yang setanding dengan saya.

"Secara amnya, tidak kira siapa yang anda akan hadapi, sebagai pertahanan, anda perlu memenangi bola," katanya.

Sule tersenarai dalam kesebelasan utama Bayern sepanjang sembilan perlawanan musim ini dan mempunyai aspirasi untuk mengekalkannya dalam Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu hampir menyertai pasukan dalam Liga Perdana Inggeris ketika meninggalkan Hoffenheim dua tahun lalu dan masih bercita-cita untuk beraksi dalam saingan divisyen utama England pada masa akan datang.

"Saya pernah bercita-cita untuk bermain dalam Liga Perdana. Ia merupakan salah satu liga yang saya amat berhajat untuk menyertainya.

"Buat masa ini, saya melihat perpindahan ke Munich adalah langkah terbaik.

"Dan seperti yang anda dapat lihat, saya amat gembira di Bayern.

"Bukan hanya kerana saya memperoleh peluang ini tetapi juga disebabkan kelab, penyokong dan staf kejurulatihan yang hebat.

"Saya mahu menjadi pertahanan terbaik di dunia, memenangi Liga Juara-Juara dan memenangi satu atau lebih kejuaraan utama dengan skuad kebangsaan (Jerman)," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video